
Viswashkumar ketika ditemui Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah, pada Khamis. Foto X/@AmitShah
NEW DELHI: Ramesh Viswashkumar, satu-satunya mangsa yang diketahui terselamat daripada 242 penumpang dalam pesawat Air India yang terhempas di Ahmedabad pada Khamis, berjaya melompat keluar dari pintu kecemasan pesawat, menurut polis.
Viswashkumar, 40, yang kini menerima rawatan di hospital, memberitahu media India bahawa beliau warga Britain dan sedang dalam perjalanan pulang ke United Kingdom bersama abangnya selepas melawat keluarga di India.
“Sebaik sedar, mayat bergelimpangan di sekeliling saya. Saya ketakutan. Saya terus bangun dan melarikan diri. Serpihan pesawat ada di mana-mana. Seseorang menarik saya masuk ke ambulans dan membawa saya ke hospital,” katanya kepada Hindustan Times.
Tidak dapat dipastikan sama ada beliau sempat melompat sebelum pesawat itu terhempas.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki berbaju putih berdarah dan berseluar gelap, berjalan terhincut-hincut di jalanan sambil dibantu petugas perubatan.
Lelaki itu dipercayai Viswashkumar berdasarkan imej hospital yang disiarkan media tempatan.
Reuters tidak dapat mengesahkan kesahihan video itu secara bebas.
Dalam rakaman itu, beberapa individu dilihat bertanya mengenai nasib penumpang lain, dan lelaki itu menjawab: “Mereka semua masih di dalam.”
Gambar pas masuk Viswashkumar yang dikongsikan dalam talian menunjukkan beliau duduk di tempat 11A dalam penerbangan menuju Lapangan Terbang Gatwick.
Menurut laporan, abangnya Ajay duduk di barisan lain. Viswashkumar merayu bantuan untuk mengesannya.
“Dia duduk berhampiran pintu kecemasan dan berjaya menyelamatkan diri dengan melompat keluar,” kata Pegawai Kanan Polis Ahmedabad, Vidhi Chaudhary.
Seorang ahli keluarga di Britain yang enggan dikenali mengesahkan kepada Reuters bahawa mereka berhubung dengannya, namun enggan berkongsi maklumat lanjut.
Sepupu Viswashkumar, Ajay Valgi, yang menetap di Leicester, memberitahu BBC bahawa beliau menerima panggilan telefon daripada Viswashkumar. “Dia cuma berkata dia selamat, itu saja,” katanya.
Tambahnya lagi, keluarga belum mendapat berita tentang abang Viswashkumar. “Kami semua sangat tertekan,” katanya.
Viswashkumar dilaporkan sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki.
Pesawat itu terhempas di kawasan perumahan, merempuh asrama kolej perubatan berhampiran lapangan terbang pada waktu makan tengah hari – menjadikannya tragedi penerbangan paling buruk dalam tempoh sedekad.
Lebih 240 orang disahkan maut, termasuk beberapa individu di darat.
Polis menyatakan jumlah korban awal iaitu 294 adalah kesilapan disebabkan pengiraan dua kali bahagian tubuh.
Viswashkumar disahkan sebagai satu-satunya mangsa yang diketahui terselamat setakat ini, namun operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
“Masih ada kemungkinan terdapat mangsa lain yang terselamat dan kini sedang dirawat di hospital,” kata Chaudhary. – Agensi