KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) berharap warga guru dan ibu bapa serta penjaga akur dan bertenang dengan penangguhan lagi sesi persekolahan di Daerah Kuching, Padawan dan Samarahan ke 17 Ogos 2002.
Presidennya Ahmad Malie berkata, pihaknya turut berharap agar ibu bapa serta penjaga terus memantau dan memastikan kesihatan anak-anak mereka dalam keadaan terkawal.
“Dalam keadaan ini, KGBS turut yakin bahawa guru-guru di sekolah yang terlibat masih bersemangat tinggi untuk meneruskan pembelajaran atas talian dari rumah.
“Atau menggunakan apa jua kaedah yang pengajaran yang terbaik sepanjang tempoh penangguhan ini demi memastikan pembelajaran murid-murid tidak terjejas.
“Oleh itu, KGBS mengucapkan syabas dan terima kasih atas komitmen tinggi dalam kalangan warga guru menghadapi situatsi yang mencabar ini,” katanya ketika di hubungi Utusan Sarawak, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai Kerajaan Sarawak mengenai penangguhan pembukaan sesi persekolahan yang dijadualkan semula ke 17 Ogos.
“Pihak kita juga akur dengan pengumuman penangguhan tersebut dan yakin Kerajaan Sarawak membuat keputusan itu setelah mendapat pandangan serta nasihat daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negeri ekoran penularan pandemik Covid-19 di ketiga-tiga daerah yang terjejas teruk ini,” tambahnya.
Oleh Zarina Abdullah