
LAWAS: Bekalan air penduduk Lawas yang terjejas lebih dua minggu berakhir dengan Menteri Utiliti dan Komunikasi Dato Sri Julaihi Narawi turun tangan melalui arahan tegas.
Melalui perkongsian dengan rakan media, Julaihi memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air Trusan yang baru mula beroperasi seperti biasa sebaik kerja pembaikan tiga pam air berjaya dilakukan.
“Kita telah mengarahkan kerja pembaikan segera dilakukan. Pada masa yang sama saya sendiri turut memantau perkembangan tersebut.
“Bekalan air diteruskan dengan tekanan rendah menerusi loji rawatan air yang lama dengan kapasiti 20 juta liter sehari (MLD) dan lori air turut dikerah untuk membantu penduduk terjejas.
“Setakat ini juga saya dimaklumkan paras air di Batang Trusan berada pada paras yang normal,” katanya dalam mesej ringkas kepada pihak media.
Sehubungan itu, ramai penduduk yang menzahirkan ucapan terima kasih kepada Julaihi atas keperihatinan beliau.
Sementara itu, kerja pembaikan dinding kolam air di Loji Rawatan Air Gelugus masih dijalankan oleh pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar(JBALB) bagi mengatasi gangguan bekalan air di kawasan Lawas Damit dan kawasan Gaya di Lawas.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan, Baru Bian turut meminta JBALB untuk menyegerakan isu gangguan bekalan air khususnya di kawasan Lawas Damit dan Kampung Gaya yang masih terjejas.
Beliau turut meminta JBALB bekerjasama dengan agensi lain bagi membekalkan air bersih kepada penduduk terjejas semasa musim kemarau yang melanda.
Daerah Lawas mengalami isu kekerapan gangguan bekalan air apabila bekalan elektrik terputus dan ketika kerja pembersihan tangki air dilakukan.
Oleh itu, orang ramai berharap agar isu ini dapat diberi perhatian serius agar keyakinan rakyat terhadap integriti serta keupayaan kepada agensi bertanggungjawab dapat dipertingkatkan.
Malahan pendekatan JBALB yang berkongsi maklumat tentang usaha yang sedang dilakukan JBALB melalui laman Facebook atau seumpamanya penting dalam memberi kefahaman kepada penduduk setempat.
Respon pantas penghantaran bekalan air bersih juga perlu ditingkat dengan penambahan lori bekalan air yang setakat ini tidak memadai.
Oleh Adeng Edrus