
GERAKAN Global Selatan (Global South) telah lama dikenali sebagai satu kerangka kebersamaan dan perpaduan yang berakar daripada perjuangan sejarah penjajahan dan ketidakseimbangan global.
Ia tidak semata-mata merujuk kepada lokasi geografi negara-negara di hemisfera selatan, tetapi merujuk kepada satu kelompok negara dan wilayah yang mempunyai sejarah marginalisasi dalam sistem ekonomi dan politik global.
Daripada semangat awal Persidangan Bandung 1955 yang mengangkat suara negara-negara baharu merdeka, hingga ke hari ini, cita-cita Gerakan Global Selatan terus hidup – meskipun dalam bentuk dan strategi berbeza.
Salah satu manifestasi kontemporari gerakan ini ialah penubuhan rangkaian Global South Network – Southeast Asia (GSN SEA).
Ia berpaksikan misi untuk menilai semula pembangunan, pengetahuan dan keadilan dari perspektif negara-negara Selatan, GSN SEA membawa kesinambungan intelektual dan budaya kepada cita-cita asal Bandung.
Dalam konteks ini, baru-baru ini, satu forum antarabangsa diadakan di Universitas Indonesia, iaitu universiti terbaik Indonesia yang menjadi penganjur bersama dengan Beijing Longway Economic and Social Research Foundation, The Institute for a Community with Shared Future Communication University of China, dan Shanghai Chunqiu Institute for Development and Strategic Studies bagi menilai situasi Global Selatan yang mengkhusus mengenai Asia Tenggara.
GSN SEA bukan sahaja mewarisi semangat tersebut, tetapi memperkasa dan menyusun semula strategi pembangunan yang lebih adil dan berakar lokal dalam konteks Asia Tenggara melalui kerjasama akademik.
Konsep asas Gerakan Global Selatan
Sebenarnya Gerakan Global Selatan mula mendapat pengiktirafan simbolik pada 1955 melalui Persidangan Asia-Afrika di Bandung, Indonesia.
Persidangan ini menghimpunkan pemimpin dari 29 negara yang baru merdeka, seperti Sukarno dari Indonesia, Jawaharlal Nehru dari India dan Gamal Abdel Nasser dari Mesir.
Mereka bersetuju untuk menolak kolonialisme dalam segala bentuk, menyokong hak penentuan nasib sendiri, dan membina sistem pembangunan yang bebas daripada dominasi kuasa-kuasa Barat.
Intipati utama gerakan ini termasuk penegasan terhadap agensi pembangunan sendiri, iaitu kemampuan negara-negara Selatan untuk menentukan arah pembangunan tanpa bergantung kepada model luar.
Ia juga menekankan kerjasama Selatan–Selatan, serta pendekatan yang berakar dari budaya, tradisi dan nilai tempatan dalam membina ekonomi, sistem pendidikan, dan tadbir urus.
Namun, cabaran yang berlarutan – termasuk ketidakseimbangan ekonomi global, kegagalan institusi antarabangsa dalam mewakili suara Selatan, serta penguasaan epistemologi Barat dalam sistem pendidikan dan penyelidikan – menunjukkan bahawa semangat Bandung memerlukan pendekatan baharu yang lebih reflektif, kritis dan partisipatif sesuai dengan situasi yang sudah berbeza pada era teknologi dan globalisasi
GSN SEA: Pewaris dan penerus agenda Global Selatan
Dalam konteks ini, munculnya GSN SEA (Global South Network – Southeast Asia) sebagai jaringan serantau yang berorientasi kepada nilai-nilai asal Gerakan Global Selatan memberikan harapan baru.
GSN SEA tidak berfungsi sebagai sebuah gerakan politik seperti Non-Aligned Movement, tetapi sebagai satu wadah intelektual, ilmiah dan budaya yang berusaha menilai semula pendekatan pembangunan dari pandangan dalam – from within the Global South.
Visi utama GSN SEA adalah untuk mencabar hegemoni pengetahuan dan wacana pembangunan konvensional, yang selama ini cenderung mengutamakan model Barat dan tidak mengambil kira konteks lokal di Asia Tenggara.
Dengan menyatukan penyelidik, aktivis, pembuat dasar dan institusi pendidikan dari pelbagai negara di rantau ini, GSN SEA menghidupkan satu jaringan pertukaran pengetahuan, kolaborasi akademik dan penyebaran naratif pembangunan yang lebih adil dan kontekstual.
Pelaksanaan agenda Global Selatan oleh GSN SEA
GSN SEA melaksanakan misi Gerakan Global Selatan melalui pelbagai pendekatan praktikal dan strategik. Pertama, ia menolak hegemoni pembangunan Barat dengan membangun wacana alternatif melalui seminar, penyelidikan dan penerbitan ilmu berasaskan konteks Asia Tenggara.
Aspek ini termasuk kajian mengenai pembangunan komuniti luar bandar, pelestarian budaya tempatan, dan pendidikan pelbagai bahasa – semua ini sering dipinggirkan dalam kerangka pembangunan nasional arus perdana.
Kedua, GSN SEA mengukuhkan solidariti Selatan–Selatan dengan mewujudkan jaringan yang merangkumi akademik dan aktivis dari negara seperti Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina dan Kemboja. Ia bukan sahaja menjadi platform dialog, tetapi juga ruang untuk menyusun strategi bersama ke arah pembangunan yang adil dan lestari.
Ketiga, GSN SEA memberi tumpuan kepada pengetahuan lokal dan sejarah, dengan menekankan penggunaan bahasa ibunda, adat, dan naratif masyarakat tempatan sebagai sumber pengetahuan yang sah.
Ia mencabar dominasi epistemologi Barat yang sering menganggap pengetahuan Selatan sebagai ‘terbelakang’ atau ‘kurang saintifik.’
Keempat, GSN SEA memperjuangkan keadilan sosial dan budaya dengan memberi ruang kepada suara minoriti dan kumpulan terpinggir – termasuk masyarakat adat, golongan wanita, dan pelarian – dalam proses pembangunan dan penyelidikan. Aspek ini menjadikan pembangunan bukan hanya bersifat ekonomi, tetapi juga moral dan sosiobudaya.
Konteks dan contoh serantau
Salah satu contoh ketara bagaimana GSN SEA memainkan peranan penting ialah melalui penglibatan dalam wacana pembangunan wilayah seperti Sarawak dan Sabah.
Lebih 20 tahun dahulu wilayah ini sering terpinggir dalam perbincangan pembangunan nasional yang terlalu berpusat. Melalui kerjasama bersama universiti tempatan, NGO dan penyelidik, GSN SEA menyokong penghasilan penyelidikan mengenai pembangunan berasaskan komuniti, wacana dan dialog, dan pemerkasaan budaya tempatan.
Begitu juga dengan kerjasama antara penyelidik dari Mindanao, Selatan Thailand dan Kalimantan – wilayah yang mempunyai sejarah konflik dan marginalisasi – GSN SEA dilihat mulai memainkan peranan dan menjadi jambatan ilmu untuk membina pemahaman bersama dan memperjuangkan hak pembangunan yang berkeadilan.
Perubahan strategi: Dari politik ke ilmu
GSN SEA menandakan perubahan bentuk Gerakan Global Selatan dari gerakan politik negara-bangsa kepada gerakan ilmu dan pengetahuan rentas negara.
Perkara ini mencerminkan kesedaran bahawa pembangunan tidak hanya ditentukan oleh dasar kerajaan, tetapi juga oleh kelompok atau individu yang menghasilkan pengetahuan, mekanisme pengetahuan itu disebar, dan kepada mana-mana pihak ia dapat dimanfaatkan.
Daripada pertemuan diplomatik seperti Persidangan Bandung atau NAM, GSN SEA mencipta platform baru seperti seminar akademik, bengkel penyelidikan, penerbitan ilmiah, dan dialog komuniti dengan kerjasama universiti rentas negara. Dengan ini, gerakan pembangunan menjadi lebih partisipatif, demokratik dan lestari.
Kesimpulan
GSN SEA adalah kesinambungan dan pembaharuan kepada Gerakan Global Selatan dalam bentuk yang lebih sesuai untuk cabaran semasa.
Ia mengekalkan aspirasi asal – pembangunan yang bebas, berakar lokal dan adil, pada masa sama sambil menyusun strategi baru yang berasaskan ilmu, budaya dan solidariti masyarakat.
Ia membuktikan bahawa untuk membina masa depan yang adil, kita tidak memerlukan model pembangunan universal yang seragam, tetapi perlu mendengar suara berakarkan sumber tempatan, meraikan perbezaan, dan memperjuangkan hak untuk menentukan masa depan dari bawah.
Gerakan seperti GSN SEA bukan sahaja relevan, malah penting untuk masa depan pembangunan di Asia Tenggara dan seluruh Global Selatan.
Dalam konteks ini, Sarawak dan Sabah sebagai negeri sebelum ini banyak terlepas daripada wacana nasional perlu memanfaatkanya dengan lebih seimbang dan adil dalam memposisikan naratif suara dari wilayah yang sedang membangun.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL). Esei ini dihasilkan ketika penulis terlibat dengan Forum GSN SEA di Universitas Indonesia (UI), Jakarta, Indonesia yang sedang berlangsung selama 2 hari, iaitu 11 Jun hingga 12 Jun.