KUALA LUMPUR: Kepimpinan global Malaysia dalam menetapkan standard farmaseutikal halal membantu kejayaan pengeluar farmaseutikal domestik untuk meneroka pasaran farmaseutikal halal antarabangsa yang dianggarkan bernilai AS$134 bilion menjelang 2024.
Pengarah Urusan kumpulan Duopharma Biotech Bhd, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, standard farmaseutikal halal MS2424:2012 yang menggariskan panduan umum mengenai pembuatan dan pengurusan farmaseutikal halal diterima di peringkat universal dengan cepat.
Sementara itu, evolusinya iaitu MS2424:2019 telah memperluaskan skop pensijilan halal secara signifikan bagi menangani peningkatan permintaan dalam biologi dan pencarian vaksin halal, katanya pada sesi webinar bertajuk ‘Memanfaatkan ekosistem farmaseutikal halal’ anjuran Halal Development Corporation (HDC) dengan kerjasama Duopharma and KPJ Healthcare Bhd di sini, semalam.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh HDC dan Duopharma, program anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu diadakan bersempena siri webinar Persidangan Halal Dunia 2020 mengenai industri farmaseutikal halal.
Leonard Ariff berkata, ekosistem farmaseutikal halal di Malaysia telah diperkasakan oleh garis panduan umum Farmaseutikal Halal MS:2424 yang merangkumi rantaian bekalan keseluruhan mulai daripada pemprosesan sehingga runcit.
Menurutnya, kebersihan, sanitasi dan keselamatan adalah prasyarat utama proses pembuatan farmaseutikal halal, dengan Amalan Perkilangan yang Baik (GMP) adalah syarat wajib bagi menyediakan produk farmaseutikal halal.
“Syarat yang ketat bagi pensijilan ini diterjemahkan sebagai penambahan bagi mendorong jaminan kualiti yang memberikan penanda aras lebih tinggi bagi kualiti standard.
“Pensijilan halal bagi proses pembuatan kini diketahui sebagai nilai tambah yang paling signifikan dalam industri farmaseutikal,” katanya. – Bernama