
SIBU: Pembinaan projek jalan baharu ke pekan Selangau dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selangau dijangka siap lebih awal daripada jadual asal, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata kerajaan negeri mahu memastikan kedua-dua projek itu bukan sahaja siap lebih awal daripada tempoh ditetapkan malah menepati spesifikasi ditetapkan.
“Jalan raya yang memberikan akses baharu ke pekan Selangau itu sepatutnya siap dalam tempoh 12 bulan, namun kita minta supaya disiapkan dalam masa enam bulan.
“Keadaan cuaca juga baik dan kerja tidak terlalu sukar. Saya berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) akan terus memantau kemajuan projek ini secara menyeluruh,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek rakyat itu hari ini.
Beliau berkata projek pembinaan jalan raya sepanjang 450 meter bernilai RM3.5 juta itu dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan akan menyediakan akses terus ke pekan Selangau sekali gus meningkatkan kelancaran trafik serta memudahkan penduduk setempat.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak turut meninjau projek pembinaan SMK Selangau yang kini berada 4.34 peratus lebih awal berbanding jadual asal.
“Sekolah ini melibatkan pembinaan 18 bilik darjah. Mengikut jadual asal, ia sepatutnya siap pada Jun 2027, namun kita minta JKR dan kontraktor menyiapkannya selewat-lewatnya Disember 2026,” katanya.
Beliau berkata projek itu dibiayai oleh kerajaan Persekutuan dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri, serta diyakini dapat disiapkan mengikut jadual berikutan faktor tapak yang stabil serta penggunaan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS).
JKR Sarawak akan terus memantau pelaksanaan kedua-dua projek bagi memastikan tiada kelewatan atau berlaku masalah projek sakit.
“Kerajaan negeri juga tidak teragak-agak menamatkan kontrak mana-mana projek yang gagal disiapkan mengikut perancangan sebagaimana yang telah dilakukan sebelum ini,” tegas beliau.
-Bernama