LAWAS: Gangguan bekalan air yang berterusan di Daerah Lawas menambahkan lagi penderitaan penduduk di tengah-tengah musim kemarau yang sedang melanda kawasan paling utara Sarawak ini.
Menurut makluman rasmi Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Limbang, kerja-kerja baik pulih kecemasan sedang giat dijalankan di Loji Rawatan Air Trusan, termasuk pemasangan pam air mentah yang rosak.
Kerosakan ini telah menjejaskan pengeluaran air terawat, sekali gus menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di daerah ini.
Keadaan bertambah buruk apabila Loji Rawatan Air Gelugus turut terjejas susulan paras air sungai di muka sauk (intake) berada pada tahap kritikal akibat cuaca panas melampau serta kerosakan benteng penahan air yang pecah.
Antara kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air termasuk seluruh Jalan Punang, Kuala Lawas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas, kawasan Perindustrian Lawas dan kawasan sekitar.
JBALB memohon kerjasama semua pengguna untuk menjimatkan penggunaan air sepanjang tempoh pemulihan ini. Bekalan air alternatif akan dihantar menggunakan lori tangki ke kawasan-kawasan yang terjejas.
Namun begitu, penduduk tempatan meluahkan rasa kecewa terhadap situasi yang berlarutan ini, yang disifatkan sebagai kegagalan pengurusan dalam menangani isu asas bekalan air bersih.
Penduduk dari Banting, Lawas Mustapha Mail, berkata pihak atasan JBALB Sarawak perlu segera turun padang bagi mencari penyelesaian jangka pendek yang lebih berkesan.
“Setiap bulan, malah kini sudah berminggu kami hidup tanpa bekalan air.
“Kami hanya diberi alasan bahawa alat ganti sedang ditunggu, tetapi masalah tidak juga selesai.
“Kami mahu penyelesaian segera, bukan janji manis yang akhirnya mengecewakan,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Mustapha dan beberapa pengguna media sosial termasuk di laman ‘Facebook Lawaskini’ turut meluahkan rasa tidak puas hati mereka.
Mereka berharap isu ini mendapat perhatian segera daripada Jawatankuasa Bencana Daerah.
“Semua pihak seolah-olah berdiam diri, sedangkan rakyat sedang bergelut dengan masalah bekalan air di musim panas ini.
“Kami berharap pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak dan Premier Sarawak dapat campur tangan membantu rakyat di Lawas yang semakin tertekan,” katanya lagi.
Oleh Adeng Edrus