
SIBU: Masyarakat Iban yang berjaya dan berpendidikan disaran agar membantu meningkatkan tahap pendidikan di rumah panjang masing-masing, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana.
Katanya, kejayaan golongan tersebut boleh menjadi inspirasi, khususnya kepada pelajar luar bandar yang memerlukan dorongan dan contoh teladan.
“Selain itu, ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak serta memantau pencapaian mereka dari segi pelajaran dan disiplin,” katanya.
Anyi ketika merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat dan pelancaran Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Rumah Gani Mahi, Kabah, Kanowit pada Sabtu lepas.
Menurut Anyi, pelbagai bentuk bantuan telah disediakan oleh kerajaan negeri bagi menyokong pendidikan pelajar di Sarawak.
Beliau turut memaklumkan mengenai inisiatif peribadinya dalam menyediakan insentif pendidikan kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Inisiatif ini bertujuan memberi galakan kepada pelajar untuk berjaya dalam peperiksaan awam.
“Malah, mereka yang melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma atau ijazah turut diberikan bantuan,” tambahnya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS) Ngemah Ramba Resang, dan Ketua Pemuda PRS Ngemah Kaunselor Stenny Willis.
Oleh Tarani Lanting