
KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Badminton Beregu Negara Rexy Mainaky berkata hanya satu perkara boleh menggambarkan prestasi pasangan beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah di final Terbuka Indonesia 2025 di Jakarta semalam, iaitu ‘hebat.’
Walaupun gagal merangkul gelaran juara, Rexy tetap gembira melihat usaha pasangan nombor empat dunia itu yang menikmati permainan dan kekal fokus, ketika berhadapan pasangan nombor satu dunia dari China Liu Sheng Shu-Tan Ning, di venue ikonik Istora Senayan.
Pearly-Thinaah memberi saingan sengit kepada pilihan utama itu dalam pertarungan mendebarkan selama satu jam 29 minit sebelum tewas 25-23, 12-21, 19-21.
“Satu sahaja perkara yang saya boleh katakan iaitu prestasi mereka memang hebat,” katanya kepada Bernama.
Sebagai naib juara, Pearly-Thinaah membawa pulang AS$50,750 (kira-kira RM215,000) manakala Sheng Shu-Tan Ning sebagai juara meraih AS$107,300 (sekitar RM454,000).
Walaupun keputusan semalam menyaksikan Liu Sheng Shu-Tan Ning kini melebarkan rekod pertemuan dengan 8-3, prestasi terbaharu Pearly-Thinaah menunjukkan jurang antara mereka semakin mengecil.
Sementara itu, pakar beregu dari Indonesia itu turut gembira dengan pencapaian keseluruhan wakil beregu negara lain dalam kejohanan Super 1000 tersebut.
“Kesemua pemain beregu kita bermain dengan sangat baik dalam Terbuka Indonesia,” katanya.
Daripada tujuh pasangan beregu negara lain yang bertanding di Terbuka Indonesia, dua pasangan berjaya mara ke separuh akhir iaitu beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Pada Sabtu, Wei Chong-Kai Wun tewas kepada pasangan tuan rumah Sabar Karyaman-Moh Reza Isfahani dengan keputusan 18-21, 21-12, 18-21, manakala Tang Jie-Ee Wei pula disingkirkan pasangan Thailand Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, dengan keputusan 23-21, 15-21, 11-21.
-Bernama