
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau menafikan dakwaan bahawa sebuah syarikat pembalakan di Long Tepen telah ‘mengkhianati’ masyarakat Penan, sambil menegaskan laporan yang disiarkan oleh sebuah saluran media semalam 2025 adalah tidak seimbang dan tidak menggambarkan situasi sebenar.
Dalam laporan tersebut, penduduk Long Tepen dilaporkan membina halangan sebagai tanda bantahan terhadap pelaksanaan kerja penanaman semula hutan oleh Syarikat Shin Yang, atas dakwaan kegagalan mematuhi perjanjian terdahulu serta menyebabkan pencemaran sungai dan menjejaskan sumber pendapatan komuniti.
Namun demikian, menurut beliau, dakwaan itu tidak mencerminkan keadaan sebenar di lapangan.
“Hanya sekarang mereka membantah. Bertahun-tahun saya melalui kawasan ini, tiada sebarang isu dibangkitkan. Hanya sejak kebelakangan ini sahaja mereka membangkitkan perkara ini.
“Tambahan pula, dakwaan bahawa air sungai menjadi masin adalah tidak benar. Perkara ini tidak berlaku dan hanya dibesar-besarkan bagi menarik perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar serta mencetus campur tangan politik,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa projek yang dilaksanakan bukan pembalakan konvensional, sebaliknya merupakan usaha penanaman semula hutan (planted forest) yang dilulus dan diarahkan oleh Jabatan Hutan Sarawak sebagai sebahagian daripada inisiatif pemuliharaan berasaskan piawaian International Tropical Timber Organization (ITTO).
“Ini bukan keputusan syarikat semata-mata. Syarikat Shin Yang dan syarikat lain seperti Samling hanya melaksanakan dasar kerajaan negeri untuk memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak syarikat telah menyerahkan sepenuhnya isu tersebut kepada pihak berkuasa.
“Shin Yang tidak akan memberi sebarang maklum balas kerana mereka menyerahkan sepenuhnya kepada Jabatan Hutan untuk menanganinya,” tegas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kekesalan kerana segala sumbangan dan komitmen syarikat terhadap pembangunan komuniti setempat tidak diberi perhatian.
“Long Tepen merupakan kampung contoh di kawasan saya. Sekolah rendah di situ merupakan satu-satunya sekolah yang mendapat kelulusan pembinaan daripada Kementerian Pendidikan (KPM), hasil kerjasama erat antara komuniti dan pihak sekolah.
“Malah, ada anak kampung ini yang menerima biasiswa Petronas dan melanjutkan pengajian ke Semenanjung. Ini adalah hasil daripada hubungan baik antara syarikat, kerajaan dan masyarakat setempat,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk supaya menghargai pelbagai inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang telah disumbangkan oleh syarikat sepanjang bertahun-tahun, serta tidak mudah terpengaruh dengan tekanan luar yang boleh menjejaskan keharmonian komuniti.
-UKAS