KUCHING: Medan Niaga Satok hanya ditutup sehari dan bukan selama 14 hari seperti yang tular di media sosial.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh pengurusan medan niaga tersebut dan menegaskan berita yang tular di media sosial mengenai penutupannya adalah tidak benar.
“Setakat ini tiada arahan penutupan selama 14 hari daripada pihak berkaitan serta kerajaan dan kita masih menunggu arahan selanjutnya.
“Jadi hari ini Medan Niaga Satok ditutup sehari sahaja dan selebihnya kita menunggu arahan lanjut,” katanya.
Ujarnya, antara langkah berjaga-jaga yang pihaknya lakukan adalah proses sanitasi seluruh kawasan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak.
“Jadi pengunjung dan peniaga terpaksa mengosongkan medan niaga ini sebagai langkah keselamatan, itu yang berlaku hari ini,” tambahnya.
Sementara itu Penolong Pengarah Operasi JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya melakukan kerja-kerja sanitasi di semua kawasan ruang niaga Medan Niaga Satok.
“Operasi bermula pada jam 9.10 pagi dan berakhir pada 9.40 pagi dengan kita melakukan sanitasi di keseluruhan kawasan berkeluasan 48,562 meter persegi.
“Seramai 20 anggota Bomba terlibat dengan diketuai Pegawai Kanan Bahagian Operasi Negeri, PgKB II John Sagun Francis,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, ini adalah kali kedua operasi sanitasi dijalankan di Medan Niaga Satok dan operasi yang dijalankan semalam adalah kerana terdapat kes positif Covid-19 di kawasan tersebut.
Terdahulu pada Selasa, Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) pada sidang media mengumumkan Kluster Pasar Satok adalah kluster baharu Covid-19 di Sarawak.
Beliau mengesahkan kluster tersebut melibatkan Medan Niaga Satok dan pihaknya telah mengesan empat kes positif Covid-19 setakat kelmarin hasil daripada saringan aktif yang dijalankan.