
SIBU: Bangunan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) Sibu, kini telah siap sepenuhnya dan hanya menunggu kelulusan akhir daripada Jabatan Bomba dan Permit Menduduki (OP) sebelum mula menerima pelajar sulungnya.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, para pelajar Tingkatan Satu yang sepatutnya memulakan sesi persekolahan di YSIS Sibu sejak Januari lalu kini ditempatkan sementara di YSIS Kuching yang terletak di Batu 12, Jalan Serian.
“Semua tenaga pengajar bagi sekolah berkenaan juga telah bersedia dan turut ditempatkan di Kuching buat sementara waktu.
“Proses perpindahan akan dilaksanakan sebaik sahaja OP diperoleh. Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan dalam beberapa minggu lagi. Saya sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan pelajar dapat dipindahkan ke Sibu secepat mungkin,” jelasnya kepada pemberita selepas program Ibadah Korban DUN Nangka di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Ali, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata, program tersebut untuk mengagihkan daging korban kepada 116 pelajar anak yatim dari sembilan sekolah rendah dan tiga sekolah menengah sekitar DUN Nangka yang tidak tinggal di kompleks anak yatim.
“Program ini adalah salah satu usaha kita untuk menyantuni anak-anak yatim serta golongan asnaf di kawasan DUN Nangka, terutama sempena sambutan Hari Raya Korban ini,” kata beliau.
Sebanyak tiga ekor lembu telah dikorbankan untuk tujuan tersebut, sebahagiannya ditaja oleh beliau sendiri.
Turut hadir Setiausaha Politik Premier Sarawak Syed Azmee Wan Junaidi.
Oleh Akun Giman