
GEDONG: Kerajaan Sarawak sedang melaksanakan pendekatan baharu dalam sektor penternakan bagi menangani isu harga daging yang tinggi di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata harga daging di Sarawak kekal tinggi disebabkan kebergantungan terhadap import ternakan dari luar negara.
Ini terutamanya dari Australia dan kos import turut terjejas akibat cukai eksport yang dikenakan oleh negara pengeksport serta keperluan bayaran dalam mata wang asing.
“Saya telah berbincang dengan Datuk Seri Dr. Stephen Rundi bagi menstabilkan harga berdasarkan keseimbangan antara pengeluaran dan permintaan.
“Apa yang berlaku sekarang ini ialah kita masih mengimport ternakan dari Australia, termasuk yang diternak di bawah seliaan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
“Namun, import ini melibatkan bayaran cukai eksport serta penggunaan mata wang asing, sekali gus menjadikannya mahal,” katanya ketika ditemui media pada majlis Ibadah Korban Gedong di sini hari ini.

Sebagai alternatif jangka panjang, beliau menjelaskan bahawa Sarawak perlu mengurangkan kebergantungan terhadap import dengan memperkukuh kapasiti penternakan domestik.
“Antara inisiatif utama yang sedang dilaksanakan ialah menggunakan sisa ladang kelapa sawit sebagai sumber makanan haiwan, yang sedang diuji di Lubok Antu di bawah kelolaan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA).
“Saya telah melawat Lubok Antu dan mendapati sisa ladang sawit boleh menghasilkan biojisim yang boleh ditukar menjadi makanan haiwan.
“Haiwan-haiwan ini akan diternak di dalam ‘feedlot’ tanpa memerlukan kaedah penternakan secara lepas bebas,” jelasnya.
Abang Johari berkata kaedah tersebut bukan sahaja mampu mengurangkan kos makanan haiwan yang kini diimport, tetapi turut menyumbang kepada kualiti ternakan yang lebih baik apabila dicampur dengan rumput napia dan sisa nutrien tinggi.
“Kualiti makanan ternakan yang baik akan menjadikan lembu lebih gemuk. Dalam industri ini, ‘gemuk itu duit’. Kalau lembu kurus, siapa yang mahu beli? Ini adalah satu bentuk ekonomi kitaran.
“Sarawak mempunyai sebanyak 38 kilang pemprosesan kelapa sawit, yang berpotensi menghasilkan produk sampingan seperti makanan ternakan daripada kernel sawit serta tenaga boleh diperbaharui melalui biogas dan biofuel.
“Keperluan untuk mengubah dasar pertanian negeri ke arah pendekatan moden yang menekankan keberkesanan serta kelestarian dan kita perlu bergerak ke arah sistem yang lebih sistematik dan berinovasi, bukan lagi bergantung pada cara lama.
“Dengan cara baharu ini, bilangan ternakan dapat ditingkatkan, dan apabila penawaran meningkat, harga akan lebih mudah dikawal,” tambahnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa projek itu masih di peringkat awal pelaksanaan dan hanya dimulakan dua tahun lepas di Lubok Antu.
“Kita baru sahaja memulakan pelaksanaan di Lubok Antu. Projek ini baru dicuba dua tahun lepas.
“Namun, hasilnya menunjukkan potensi yang besar dan akan diumumkan pada penghujung tahun,” ujarnya.
Mengenai jumlah import daging dari Australia, beliau menyatakan bahawa jumlahnya adalah signifikan tetapi tidak menguntungkan negeri ini disebabkan dasar perdagangan luar negara berkenaan.
“Jumlahnya banyak, namun harganya tinggi kerana cukai eksport dan tarif yang dikenakan dan kita juga mengalami kerugian dalam kadar tukaran asing. Jadi, tidak ada manfaatnya kita bergantung kepada ladang luar negara.
“Lembu mengandungi hidrogen dan kerbau menghasilkan metana. Gas metana ini boleh diproses untuk menghasilkan hidrogen.
“Saya pernah menyatakan dalam ASEAN Women Entrepreneur Conference – ‘Jangan sia-siakan sisa, jana pendapatan daripada sisa.’ Petikan itu kini digunakan oleh pihak ASEAN,” ujarnya.
Dengan pelaksanaan dasar ini, Sarawak dijangka dapat mengurangkan kebergantungan terhadap import, menjimatkan kos, serta memperkukuh daya saing sektor pertanian dan penternakan melalui pendekatan ekonomi kitaran yang inovatif dan lestari.
Oleh Masrin Affirah