
KUALA LUMPUR: Industri halal yang pesat berkembang adalah antara sembilan sektor yang mampu mencetuskan pertumbuhan ekonomi yang tinggi dalam Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMB-EAGA) dan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
Sektor-sektor utama lain yang dimaksudkan adalah pertanian lestari dan perniagaan tani, pelancongan, tenaga boleh baharu (RE) dan hijau, ekonomi digital, pengangkutan dan logistik, industri minyak sawit dan hiliran serta kewangan Islam, menurut Profesor Madya Ekonomi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Muhammad Irwan Ariffin.
Industri marin dan perikanan adalah eksklusif untuk sub-rantau BIMP-EAGA, katanya.
Menurut beliau, industri halal di kawasan sub-rantau IMT-GT dan BIMP-EAGA memegang permintaan global yang kukuh membabitkan makanan halal, kosmetik, kewangan serta pelancongan. “Ia berkongsi nilai-nilai Islam merentasi Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand Selatan dan Mindanao, menjadikannya matlamat strategik dalam membangunkan IMT-GT sebagai hab halal global,” katanya kepada Bernama.
Muhammad Irwan ketika mengulas mengenai sektor pertanian memberitahu gabungan tanah yang luas dan iklim tropika mendorong permintaan yang amat baik untuk tanaman bernilai tinggi, pertanian organik, pemprosesan agro serta rantaian nilai perniagaan tani, yang penting dalam menyokong ekonomi luar bandar.
Ekonomi digital pula telah menyaksikan lonjakan akses internet di kawasan luar bandar di seluruh sub-rantau ini sehingga mendorong pertumbuhan e-dagang, fintech dan pembangunan kemahiran digital, di samping rancangan untuk pembangunan bandar pintar termasuk koridor digital rentas sempadan.
“’Sub-rantau ini yang terkenal dengan kepelbagaian biodiversiti mereka yang kaya, taman-taman semula jadi dan warisan budaya, semakin memberi tumpuan kepada pelancongan eko, pelancongan halal serta lingkaran perjalanan rentas sempadan, yang disokong oleh inisiatif strategik seperti kempen Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025,” katanya sambil menambah, “Dalam sektor kewangan Islam, jumlah penduduk Islam yang besar selain komuniti luar bandar yang kurang mendapat khidmat kewangan telah membentangkan peluang bagi pertumbuhan inklusif melalui perkhidmatan kewangan patuh syariah yang akan menyokong pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh kawasan tersebut.”
IMT-GT, BIMP-EAGA sejajar dengan matlamat ASEAN yang lebih luas
Muhammad Irwan berkata walaupun matlamat ASEAN yang lebih luas untuk integrasi ekonomi serta kesalinghubungan dipandu oleh Rangka Kerja Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 dan Pelan Induk Ketersambungan ASEAN (MPAC) 2025, sub-rantau IMT-GT dan BIMP-EAGA mampu diselaraskan dengan objektif ini melalui lima bidang utama.
Pertama, beliau menjelaskan sub-rantau ini boleh menyokong matlamat ASEAN untuk merapatkan jurang pembangunan di seluruh kawasan berkenaan dengan fokus kepada daerah luar bandar dengan mewujudkan peluang ekonomi di tempat-tempat yang terlepas pandang oleh strategi nasional, ini akan memajukan ASEAN sebagai komuniti yang lebih kohesif dan inklusif.
Kedua, IMT-GT dan BIMP-EAGA dapat menyokong matlamat ASEAN ke arah membangunkan pengangkutan, kemudahan perdagangan termasuk infrastruktur digital yang lancar, seperti yang digariskan dalam MPAC 2025, dengan melabur dalam infrastruktur rentas sempadan, pelabuhan serta lapangan terbang selain mengkoordinasikan usaha memudahkan perdagangan rentas sempadan, kastam dan logistik.
“Sebagai contoh, BIMP-EAGA telah melancarkan 210 Projek Infrastruktur Keutamaan (PIP) pada Oktober 2024, termasuk pengembangan zon ekonomi sempadan dan koridor ketersambungan, secara langsung menyokong matlamat MPAC untuk menghubungkan pasaran ASEAN secara fizikal,” katanya.
Muhammad Irwan berkata IMT-GT dan BIMP-EAGA dapat menyokong matlamat ASEAN untuk meningkatkan perdagangan serta pelaburan intra-ASEAN dengan memberi tumpuan kepada rantaian bekalan serantau dalam pertanian, produk halal, pelancongan dan pembuatan. Sebagai contoh, Inisiatif Pembangunan Industri Halal IMT-GT telah menyokong usaha ASEAN untuk menjadi hab halal global.
“IMT-GT dan BIMP-EAGA turut akan memudahkan pelaburan rentas sempadan serta perkongsian PKS, yang memperdalamkan lagi saling ketergantungan ekonomi di dalam ASEAN dan mengintegrasikan kawasan sempadan ke pasaran ASEAN yang lebih luas,” katanya.
Kawasan ini dapat memperkuatkan misi ASEAN untuk memiliki daya tahan, tindakan iklim dan pembangunan mampan melalui usaha merangsang infrastruktur hijau dan pelancongan lestari seperti taman-taman geo UNESCO.
Beliau juga menekankan bahawa IMT-GT dan BIMP-EAGA dapat menyokong matlamat ASEAN untuk memupuk hubungan budaya, mobiliti termasuk identiti bersama dengan menggalakkan perjalanan rentas sempadan serta festival bersama seperti Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025.
-Bernama