
KUALA LUMPUR: Kecederaan serius baharu iaitu ligamen krusiat anterior (ACL) mungkin menyebabkan pemain badminton perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong sukar untuk kembali ke prestasi sebenar selepas ini.
Pandangan itu disuarakan bekas pemain nombor satu dunia Roslin Hashim yang berkata prestasi Tze Yong masih belum stabil beberapa minggu selepas kembali beraksi pada April, susulan kecederaan belakang dialaminya tahun lepas.
“Sewaktu Tze Yong ditimpa kecederaan dahulu (kecederaan belakang), beliau terpaksa menjalani pembedahan dan kini mengalami ACL (lutut). Dua bahagian bawah badan yang sangat penting untuk pemain badminton.
“Dengan faktor umur yang mungkin patut berada di puncak ketika ini, nasib kurang baik baginya kerana mengalami kecederaan serius sekali lagi dan mengambil masa panjang untuk pulih. Jadi memang susah untuk Tze Yong menjelmakan kembali prestasi sebenar,” katanya kepada Bernama hari ini.
Semalam, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi kenyataan mengesahkan kecederaan baharu dialami pemain berusia 25 tahun itu, selain berkongsi perasaan Tze Yong yang sukar untuk menerima keadaan itu selepas segala usaha telah dicurahkan.
Bagaimanapun, Tze Yong tetap optimis dan komited terhadap perjalanan pemulihannya.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM Kenneth Jonassen berkata Tze Yong mungkin disisihkan dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan dan kini dalam fasa prapemulihan sebagai persiapan sebelum menjalani pembedahan susulan kecederaan ACL semasa saingan Masters Malaysia 2025, bulan lepas.
Tze Yong mengalami pelbagai kecederaan termasuk koyakan otot di bahagian belakang, diikuti kecederaan tulang belakang pada tahun lepas, sekali gus menjalani tempoh rehat serta pemulihan panjang sebelum kembali beraksi pada Kejohanan Badminton Asia 2025 di Ningbo, China pada April.
Walaupun meramalkan situasi sukar perlu dihadapi pemain itu, Roslin yang merupakan pemenang emas perseorangan lelaki Sukan SEA 2001 itu berharap Tze Yong memiliki keazaman kuat untuk melawan musibah tersebut supaya dapat kembali ke gelanggang.
“Saya harap beliau kuat. Sekiranya ingin bermain lagi, Tze Yong perlu memiliki kekuatan dan kekal semangat melawan ujian ini,” katanya.
Roslin juga menyifatkan ketiadaan pemain ranking ke-199 dunia itu merupakan kehilangan besar buat kem perseorangan lelaki negara, kerana Tze Yong pemain berbakat besar sehingga pernah menghuni kedudukan ke-14 terbaik dunia, sekali gus berpotensi menjadi antara pemain badminton ternama.
“Kita seperti kehilangan pemain yang benar-benar bagus. Kita nampak potensi Tze Yong termasuk menang pingat perak di Sukan Komanwel 2022, namun berlaku pula kecederaan tidak diingini,” katanya.
-Bernama