Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Aksi sulung kendalian Ancelotti, Brazil hanya seri
  • SUKAN

Aksi sulung kendalian Ancelotti, Brazil hanya seri

Utusan Sarawak 2 days ago

Penyerang Brazil, Vinicius Jr (kanan) berebut bola dengan pemain pertahanan Ecuador, Piero Hincapie. – Foto AFP

MONTEVIDEO: Penampilan sulung Carlo Ancelotti sebagai ketua jurulatih Brazil berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Ecuador pada aksi kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan pagi tadi.

Jurulatih berusia 65 tahun dari Itali itu, yang meninggalkan Real Madrid pada hujung musim Eropah baru-baru ini, diberikan tanggungjawab untuk mengemudi Brazil mara ke Piala Dunia 2026.

Bekas pengendali AC Milan dan Chelsea itu menggantikan Dorival Junior, yang dipecat pada hujung Mac lalu selepas kekalahan memalukan 4-1 di tangan juara bertahan dan seteru utama mereka, Argentina.

Keputusan seri itu menyaksikan Selecao kekal di tangga keempat carta kelayakan dengan 22 mata, manakala Ecuador, yang muncul pasukan kejutan dalam kempen kali ini, kekal di tangga kedua dengan 24 mata.

Paraguay pula melonjak ke tangga ketiga selepas menang 2-0 ke atas pasukan kendalian Marcelo Bielsa, Uruguay – menyamakan pungutan mata dengan Ecuador.

Ecuador sedar kemenangan akan meletakkan mereka hampir pasti layak ke Piala Dunia dan stadium Estadio Monumental di Guayaquil dibanjiri penyokong tuan rumah.

Namun, mereka menerima tamparan sebelum sepak mula apabila penjaga gol utama Hernan Galindez mengalami kecederaan otot sewaktu memanaskan badan. 

Penggantinya Gonzalo Valle terpaksa diturunkan secara tergesa-gesa untuk membuat penampilan sulung.

Sekiranya Valle gugup, dia tidak mempamerkannya apabila berjaya menepis percubaan Vinicius Jr dari dalam kotak penalti yang menerima hantaran daripada Gerson hasil satu serangan balas.

Peluang untuk menjaringkan gol amat terhad pada perlawanan itu bila mana kedua-dua pasukan gagal menguasai bahagian tengah padang.

Corak permainan suram berterusan selepas rehat dengan Ecuador yang kehilangan penyerang utama mereka, Enner Valencia susulan kecederaan, gagal mencipta ancaman berbahaya.

Bintang Real Madrid, Vinicius pula kurang menyerlah dan tanpa kelibat Rodrygo, Brazil jelas ketandusan kreativiti di jentera serangan.

Peluang terbaik hadir pada minit ke-75 apabila Vinicius berjaya melepasi kawalan di sebelah kiri dan melakukan umpanan ke belakang kepada Casemiro.

Namun pemain tengah Manchester United yang kembali ke skuad kebangsaan atas pilihan Ancelotti hanya melakukan rembatan lemah yang mudah diselamatkan Valle.

Walaupun tiada impak segera daripada Ancelotti, Vinicius – yang pernah beraksi di bawah bimbingannya di Madrid – berkata masa diperlukan untuk melihat kesan sebenar sentuhan jurulatih itu.

“Saya amat gembira kerana Ancelotti kini bersama kami. Saya selalu katakan, beliau adalah jurulatih terbaik yang pernah saya bekerjasama,” kata Vinicius kepada SporTV.

“Beliau belum sempat menunjukkan sepenuh rancangannya, kerana kami hanya sempat berlatih dua atau tiga hari sahaja,” ujarnya. – AFP

Continue Reading

Previous: Bekas bintang Arsenal dipenjara empat tahun
Next: Terbuka Indonesia: Tang Jie-Ee-Wei melangkah ke separuh akhir, Soon Huat-Shevon tersingkir

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.