
SIMANGGANG: Perayaan Gawai Dayak yang diraikan oleh masyarakat Dayak di Sarawak bukan sahaja mendapat pengiktirafan daripada kerajaan negeri, malah turut mendapat sambutan dan perhatian daripada pelbagai kaum lain di seluruh negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata ini membuktikan bahawa kaum Dayak diterima dan dihormati bukan sahaja di negeri ini malahan pemimpin negara juga memberi keutamaan kepada masyarakat negeri ini yang hidup harmoni walaupun terdiri daripada pelbagai kaum.
“Kejayaan ini adalah hasil kepimpinan pemimpin terdahulu yang berjaya membawa kemakmuran di negeri ini kerana kita mampu hidup dalam semangat bersatu padu dan sepakat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan kunjungan Ngabang Gawai Dayak di Rumah Nanga Entulang dekat sini baru-baru ini.
Dayang Noorazah berkata sambutan Gawai Dayak disambut oleh masyarakat kaum Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan lain-lain masyarakat di Sarawak, melambangkan satu semangat yang boleh digambarkan menerusi kepercayaan tradisi kaum masing-masing dalam pakaian yang digunakan.
“Dengan mengenakan pakaian tradisional lengkap, kita masing-masing berpeluang mempamer kebudayaan suku kaum yang ada di Sarawak di samping memberi perangsang kepada generasi muda menghormati dan mengenali budaya sedia ada,” ujarnya.
Semasa majlis, Tuai Rumah Sambau menyampaikan penghargaan kepada Ahli Parlimen Batang Lupar itu di atas sumbangan sebanyak RM50,000 untuk kerja-kerja baik pulih rumah-rumah yang masih memerlukan perhatian.
Dalam usaha berterusan membantu komuniti luar bandar, Dayang Noorazah telah memberi peruntukan Prgoram Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi 2023 berjumlah RM300,000 yang telah digunakan bagi pemasangan saliran perpaipan pintu ke pintu rumah panjang berkenaan.
Untuk rekod, Rumah Panjang Nanga Entulang ini pernah dilanda bencana kebakaran pada 2018. Pelbagai usaha telah digerakkan bagi membina semula rumah panjang tersebut dan memulihkan infrastruktur asas.
Turut hadir Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.
Oleh Adi Safarman