
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata.
KUCHING: Seorang jurutera berusia 30-an di Dalat terpaksa ‘berputih mata’ kehilangan RM150,000 setelah diperdayakan oleh tawaran kerja atas talian yang tidak wujud.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata, berkata kejadian itu bermula pada pertengahan April lalu apabila mangsa di tempat kerjanya melayari laman web https://www.eprice-better.com.
Laman web itu dikatakan menjual pelbagai barangan luar negara dan jurutera tempatan itu berminat untuk menjadi ejen kepada produk antarabangsa tersebut.
“Mangsa yang tertarik telah mendaftar sebagai ejen dan berurusan dengan khidmat pelanggan laman web tersebut iaitu suspek melalui aplikasi What’sApp.
“Mangsa yang terpedaya dengan tawaran komisen hasil jualan yang dijanjikan telah melakukan beberapa transaksi wang atas talian ke akaun yang diberikan oleh suspek berjumlah lebih kurang RM150,000.
“Mangsa menyedari telah ditipu apabila mangsa cuba hendak mengeluarkan hasil jualan tetapi tidak berjaya.
“Ini kerana suspek memberikan pelbagai alasan dan meminta mangsa membuat beberapa pembayaran dahulu untuk mengeluarkan komisen jualan tersebut.
“Sehingga laporan polis dibuat, mangsa masih belum menerima sebarang pembayaran,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.
Dalam kes berasingan, Mancha berkata seorang pengurus syarikat swasta di Bintulu turut terpedaya dengan kerugian RM300,000 dalam kes tipu pelaburan tidak wujud.
Katanya, ia bermula pada pertengahan Mei lalu apabila mangsa lelaki tempatan berusia lewat 30-an dihubungi seorang rakannya dan memperkenalkan serta mengajak mangsa untuk menyertai pelaburan jual-beli saham.
“Setelah itu, mangsa yang berminat telah diarah menghubungi individu tidak dikenali iaitu suspek untuk berurusan mengenai pelaburan tersebut.
“Mangsa yang tertarik telah berurusan dengan suspek melalui aplikasi What’sApp.
“Suspek yang dihubungi mangsa kemudian telah menawarkan kepada mangsa keuntungan yang tinggi dan pulangan cepat hasil dari pelaburan tersebut.
“Dalam kejadian ini, mangsa yang terpedaya telah melakukan beberapa transaksi wang atas talian secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberi oleh suspek berjumlah kira-kira RM300,000.
“Mangsa menyedari telah ditipu apabila suspek masih meminta mangsa untuk membuat pembayaran lain,” katanya.
Bagaimanapun, sehingga laporan polis dibuat, mangsa masih belum menerima sebarang keuntungan pelaburan tersebut.
Sehubungan itu, Mancha menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tawaran kerja atas talian yang menjanjikan komisen tinggi dalam tempoh singkat.
Beliau berkata orang ramai perlu melabur di platform yang betul dan berdaftar dengan Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sahaja.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat kewangan dari ejen berdaftar sahaja tentang sesuatu pelaburan.
“Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai pada sesuatu pelaburan yang menawarkan keuntungan lumayan dalam tempoh masa singkat,” katanya.
Mancha menyarankan orang ramai untuk membuat semakan senarai syarikat dan laman sesawang yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan di www.bnm.gov.my/ BNM TELELINK 1-300-88-5465 (Bank Negara Malaysia) dan www.sc.com.my/ (603) 62048999
(Suruhanjaya Sekuriti Malaysia).
Katanya, orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 jika menjadi mangsa penipuan siber (Phone Scam, Love Scam, e-dagang, pinjaman tidak wujud dan sebagainya) sekiranya baru sahaja membuat transaksi pemindahan wang ke mana-mana akaun bank atau e-wallet suspek.
Orang ramai turut disarankan untuk memuat turun aplikasi Whoscall melalui Google Play Store atau Apple Store untuk membantu membuat keputusan sama ada mahu menjawab panggilan telefon yang diterima atau sebaliknya.
Oleh Kadir Dikoh