
MINA: Saudi Post (SPL) telah menerbitkan setem peringatan berharga SAR3 dan poskad berharga SAR5 sempena musim haji 1446 Hijrah, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Inisiatif ini mencerminkan komitmen SPL untuk memanfaatkan setem sebagai medium memperingati peristiwa penting, termasuk musim haji.
Setakat ini, SPL telah menerbitkan kira-kira 49 setem khas berkaitan haji yang memaparkan tema seperti rukun, kewajipan, masa pelaksanaan serta projek pembangunan di Masjidil Haram dan lokasi suci lain.
Setem-setem ini merupakan sebahagian daripada siri ‘SPL’ yang mengetengahkan peristiwa kebangsaan utama – termasuk acara keagamaan, budaya, seni, sukan – serta peristiwa penting antarabangsa.
Setiap setem yang diterbitkan menggambarkan peristiwa bersejarah atau mengabadikan detik bermakna dalam sejarah Arab Saudi, menjadikannya bernilai tinggi dalam kalangan pengumpul setem di seluruh dunia. – Bernama