
LAWAS: Pengiktirafan sambutan perayaan Irau Aco Lun Bawang dalam kalendar pelancongan Sarawak merupakan satu pengiktirafan besar daripada kerajaan negeri dan Persekutuan kepada masyarakat Lun Bawang di utara Sarawak.
Ini sejajar dengan pengiktirafan yang turut diberikan kepada pelbagai perayaan kaum masyarakat majmuk di Sarawak yang mempunyai latar belakang berbeza.

Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong mahu pengiktirafan ini disambut dengan penuh tanggungjawab, termasuk memastikan seluruh masyarakat Lun Bawang bersatu padu sesama mereka dan juga dengan masyarakat majmuk yang lain.
Beliau yang mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, turut menjelaskan kepentingan perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum dalam menongkah arus kemajuan dunia yang semakin pesat dan kompleks.
“Kerajaan Sarawak, melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), telah mengiktiraf satu hari khas untuk kita merayakan perayaan Irau Aco Lun Bawang.
Rakyat harus melihat perkara ini secara serius dan memainkan peranan, tugas serta tanggungjawab bersama untuk menjayakan masa depan kita ke arah meningkatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat agar Lawas, Sarawak dan seluruh negara terus harmoni.
Sekiranya rakyat tidak bersatu, kita tidak akan dapat maju bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Irau Aco Lun Bawang ke-38 di Stadium Tertutup Lawas, malam tadi.
Beliau turut menyeru masyarakat Lun Bawang agar menjadi agen perpaduan demi kemajuan Sarawak tanpa diganggu oleh isu-isu sensitif yang boleh menggugat keharmonian kaum.
Pada majlis berkenaan, beliau mengumumkan peruntukan berjumlah RM100,000 kepada Persatuan Lun Bawang Sarawak (PLBS) daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) serta tambahan RM20,000 daripada Ahli Parlimen Lawas.
Bagi setiap cawangan Persatuan Lun Bawang di Kuching, Miri, Bintulu, Limbang dan Kuala Lumpur sebanyak RM5,000 turut diperuntukkan agar mereka terus aktif melaksanakan aktiviti masing-masing.
Oleh Adeng Edrus