SIMANGGANG: Amalkan tabiat menyimpan resit pembelian sekiranya meragui ada peniaga yang menaikkan harga barang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sri Aman, Pelani Kemiti, memberi amaran mana-mana peniaga yang menaikkan harga serta menyorok barang kawalan sehingga tamat PKP.
Menurutnya, hal ini kerana setiap aduan pengguna harus disertakan maklumat terperinci seperti resit pembelian barang di sesebuah premis perniagaan.
“Saya menggesa pengguna supaya memberi maklumat yang tepat dan spesifik ketika membuat aduan.
“Tindakan itu penting demi memudahkan penguat kuasa KPDNHEP melakukan siasatan kerana maklumat pada resit pembelian menunjukkan perbezaan harga terdahulu.
“Harga terkini akan memudahkan siasatan lanjut terhadap aduan mereka nanti,” katanya di sini, semalam.
Jelasnya, pegawai KPDNHEP Sri Aman sentiasa berada di lapangan untuk memantau bekalan, trend harga dan etika peniaga sepanjang PKP ini.
“Justeru, saya memberi amaran kepada semua peniaga di Bahagian Sri Aman supaya tidak sesekali menaikan harga, enggan menjual atau menyorok barangan kawalan dalam tempoh PKP ini.
“Kami tidak teragak-agak mengeluarkan Notis Seksyen 21 jika ada peniaga didapati bertindak sedemikian secara tidak munasabah di premis masing-masing,” ujarnya.
Pelani mengingatkan pengguna supaya tidak melakukan pembelian panik memandangkan bekalan sedia ada masih mencukupi.
Orang ramai katanya boleh menyalurkan aduan di 083-323836 atau melalui aplikasi Ez Adu KPDNHEP atau laman Facebook KPDNHEP Cawangan Sri Aman.
Pemantauan baru-baru ini mendapati tidak berlaku pembelian panik di semua pasar raya dan harga masih stabil serta stok barangan keperluan mencukupi dan terkawal.