
LAWAS: Persatuan Lun Bawang Sarawak (PLBS) perlu menghidupkan semula beberapa budaya lama masyarakat Lun Bawang yang semakin dilupakan generasi muda hari ini.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong yang mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berharap agar beberapa budaya lama suku kaum Lun Bawang dapat dihidupkan semula supaya tidak terus terhakis ditelan peredaran zaman.

“Kita perlu mewujudkan lagu-lagu orang tua yang dikenali sebagai contoh Mumu sekarang sudah tiada, tiada tarian lama dan hanya ada tarian Busang Pakoi. Jadi kalau dapat pelbagaikan lagi tarian lama dan wujudkan Mumu lagi kerana semua ini adalah warisan.
“Warisan inilah yang kita patut pertontonkan kepada generasi baru kerana warisan dulu adalah sesuatu yang kita warisi daripada nenek moyang kita,” katanya pada pembukaan Pesta Lun Bawang atau Irau Aco Lun Bawang di Stadium Tertutup Lawas hari ini.
Pada masa yang sama, beliau menyokong usaha PLBS untuk membina sebuah Pusat Kebudayaan Lun Bawang di Lawas.
Ini menurutnya akan dapat menjadi galeri atau pusat pengumpulan seni budaya masyarakat Lun Bawang untuk diwarisi generasi moden pada masa depan.
Jelasnya, beliau akan menyokong segala usaha yang baik untuk masyarakat Lun Bawang dan Lawas keseluruhannya.
Oleh Adeng Edrus