
MATU: Sekeluarga yang melalui kawasan Matu di sini dikejutkan dengan penampakan seekor harimau dahan Borneo (Bornean clouded leopard) yang sedang memakan sisa di tepi jalan.
Kejadian itu sempat dirakam oleh salah seorang ahli keluarga terbabit, dan video tersebut kini tular di media sosial, khususnya laman komuniti Borneo.
Difahamkan harimau dahan itu berada di Jalan Bruan di sini ke arah pangkalan feri Igan.
Menurut hantaran laman tersebut, haiwan liar berkenaan kelihatan jinak dan tidak menunjukkan sebarang tingkah laku agresif ketika dirakam, meskipun berada dalam jarak yang agak dekat dengan kenderaan mereka.
“Harimau dahan itu nampaknya kelaparan. Mungkin ia keluar pada siang hari kerana habitatnya yang semakin terjejas,” katanya.
Setakat ini, masih belum dapat dipastikan dari mana asal haiwan liar itu, dan bagaimana ia boleh berada di kawasan tersebut.
Susulan kejadian itu, penduduk sekitar dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.
Difahamkan juga, harimau dahan ini juga pernah dilihat di Jalan Kampung Tian ke arah Kuala Matu (laluan jalan raya belakang).
Selain itu, orang ramai juga pernah terserempak binatang ini dulu di kawasan Patai/Badong di Daro.
Dalam pada itu, orang awam turut berharap agar pihak berkuasa berkaitan seperti Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dapat mengambil tindakan segera termasuk memasang perangkap bagi menangkap dan memindahkan haiwan itu ke habitat yang lebih selamat.
Harimau dahan Borneo atau nama saintifiknya Neofelis diardi borneensis merupakan spesies terancam dan dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang hidupan liar Malaysia.
Menurut Wikipedia, harimau dahan adalah spesies terancam iaitu sejenis kucing besar dijumpai dari kaki bukit Himalaya melalui tanah besar Asia Tenggara hingga ke China dan diklasifikasikan sebagai terancam pada 2008 oleh Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam (IUCN).
Jumlah saiz populasinya mungkin kurang daripada 10,000 individu matang, dengan trend populasi yang menurun dan tiada satu populasi berjumlah lebih daripada 1,000 dewasa.
Harimau Dahan Borneo merupakan kucing terbesar di Borneo, dan berbadan pendek-gempal, berkeberatan kira-kira 12 hingga 25 kg (26 hingga 55 lb).
Gigi taringnya 2 inci (5.1 cm) panjang, yang perbandingan dengan panjang tengkoraknya adalah lebih panjang berbanding kucing-kucing ekstan lain.
Ekornya boleh tumbuh sama panjang dengan badannya, menambahkan lagi keseimbangannya.
Menurut Wikipedia lagi, bulunya bercorak tompok-tompok dengan hujung yang gelap, berbentuk seakan-akan awan.
Walaupun kewujudannya telah diketahui oleh ahli-ahli sains sejak seawal abad ke-19, namun ia hanya baru dikenalpasti sebagai spesies sendiri pada tahun 2006, sebelumnya dianggap sebagai subspesies harimau dahan.
(Kredit video & foto: FB Saat Majuni).