
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh daya tarikannya sebagai destinasi pelaburan antarabangsa apabila dua syarikat utama dari Jepun merancang pelaburan bernilai AS$1.5 bilion dalam sektor teknologi tinggi dan industri kimia di negeri ini.
TV Sarawak (TVS) dalam laporannya hari ini berkata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kini berada di Osaka, Jepun bagi membincangkan butiran pelaburan berkenaan.
Satu daripada projek pelaburan itu melibatkan pembinaan kemudahan pengeluaran polikristalin silikon gred semikonduktor oleh Tokuyama Corporation dari Jepun dengan kerjasama OCI Company Ltd. dari Korea Selatan dan nilai pelaburan dianggarkan sekitar AS$435 juta.
“Projek ini berpotensi menjadikan Sarawak antara lima lokasi terkemuka di dunia dalam teknologi pengeluaran semikonduktor berprestasi tinggi,” kata laporan itu yang memetik kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (Mintred).
Satu lagi pelaburan yang dirancang iaitu melibatkan konsortium syarikat Jepun dalam sektor kimia dengan anggaran pelaburan AS$1 bilion.
Kajian kebolehlaksanaan serta penilaian tapak telah pun dimulakan dengan kerajaan Sarawak juga memberikan komitmen untuk mempercepatkan proses kelulusan bagi memastikan keputusan pelaburan dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Kedua-dua pelaburan tersebut selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan aspek kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Kerajaan Sarawak sentiasa komited menyokong pelaksanaan projek pelaburan berimpak tinggi seperti ini. Kami menawarkan persekitaran perniagaan yang stabil, berdaya saing serta dilengkapi infrastruktur moden dan tenaga kerja berkemahiran tinggi,” kata Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan.
Beliau berkata, kerajaan Sarawak akan memberikan sokongan penuh bagi memastikan kelancaran dan kejayaan pelaburan tersebut. – Bernama