KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menawarkan baucar penginapan hotel bernilai RM150,000 di 50 hotel terpilih kepada 5,000 pengunjung terawal yang melawat Kelantan, bermula Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata hotel yang terpilih akan menerima sebanyak 100 baucar bernilai RM30 setiap satu untuk diagihkan kepada 100 pengunjung terawal di hotel mereka.
“Peruntukan untuk insentif ini telah pun diluluskan dan ia adalah usaha daripada kerajaan negeri sebagai satu lonjakan kepada industri pelancongan khususnya sektor domestik yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Bagaimanapun pengunjung hotel dinasihatkan tetap mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah disarankan oleh Kementerian Kesihatan dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai langkah membendung penularan Covid-19 ketika berkunjung dan menginap di hotel,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Disinfeksi di Premis Penginapan Pelancongan Bagi Tahun 2020 yang turut dihadiri Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zukeri Shafie di sini, hari ini.
KELANTAN-PELANCONGAN 2 (AKHIR) KOTA BHARU
Program itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Kesihatan Kelantan dan Persatuan Hotel Kelantan bagi tujuan menyahkuman di fasiliti hotel di negeri ini.
Mengulas lanjut, Md Anizam berkata selain baucar, kerajaan negeri turut menyalurkan sumbangan bernilai RM27,500 kepada 55 buah hotel di negeri ini bagi tujuan sanitasi hotel.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 17 hotel yang bertaraf empat bintang ke bawah serta 38 hotel bajet di negeri ini menerima sumbangan RM500 untuk tujuan sanitasi di fasiliti hotel masing-masing.
“Dengan adanya usaha ini, kita berharap lebih ramai akan berkunjung dan menginap di hotel-hotel di negeri ini kerana telah disanitasi dan selamat untuk dikunjungi,” katanya menambah sehingga kini, pihaknya belum menerima laporan berhubung premis pelancongan yang gulung tikar akibat pandemik Covid-19 sejak Mac lalu.
Dalam pada itu, kerajaan negeri kekal dengan sasaran 5.5 juta pelancong sempena Tahun Melawat Kelantan 2020 (TMK 2020), namun mengakui akan berlaku pengurangan berikutan penularan pandemik Covid-19.- Bernama