

SOROTAN utama SIYFC25. Foto Facebook SIYFC
PETRA JAYA: Sarawak terus meneguhkan kedudukannya sebagai hab pelancongan sukan rantau Asia Tenggara menerusi kejayaan penganjuran Sarawak International Youth Football Championship 2025 (SIYFC25) yang melabuhkan tirainya hari ini di Stadium Sarawak.
Menurut Ketua Pegawai Operasi SIYFC25, Azmi Halim, gabungan kejohanan bola sepak akar umbi, festival makanan, persembahan hiburan dan pertandingan freestyle telah menaikkan nilai SIYFC secara menyeluruh dan secara tidak langsung meletakkan Kuching dan Sarawak sebagai destinasi pelancongan sukan serantau yang baharu.
“Pertumbuhan bola sepak akar umbi di rantau ini semakin rancak, bukan sahaja melalui peningkatan jumlah kelab dan kejohanan, malah turut berkembang sebagai satu industri.
“Dengan sokongan padu daripada agensi kerajaan, sektor korporat, persatuan sukan dan masyarakat umum, SIYFC yakin dapat merealisasikan tema utamanya: “Kicking Off Dreams, Creating Champions”,” katanya dalam satu kenyataan yang fikeluarkan hari ini.


AKSI pemain cilik bola sepak. Foto Facebook SIYFC
Ketua Eksekutif SIYFC, Nazree Nassir pula menyatakan keyakinan bahawa SIYFC bukan acara sekali sahaja, malah akan diadakan setiap tahun dengan lebih banyak pasukan serta aksi yang lebih mendebarkan.
“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) Sarawak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) – Fakulti Sains Sukan & Rekreasi.
“Ucapan terima kasih juga kepada Dato Sri Abdul Karim Hamzah dan Kerajaan Sarawak atas sokongan yang sangat besar,” ujarnya.
Kejohanan yang bermula pada 29 Mei lalu itu telah menyaksikan penyertaan seramai 816 pemain muda dalam empat kategori iaitu Lelaki Bawah 12, 10 dan 8 Tahun manakala Perempuan Bawah 12 Tahun dengan 43 pasukan bertanding termasuk dari Indonesia dan atlet jemputan dari negara lain.
Walaupun beberapa negara seperti India, Thailand, Singapura dan Filipina terpaksa menarik diri berikutan situasi geopolitik dan ancaman kesihatan global, kejohanan tetap berlangsung meriah dan penuh semangat kesukanan.
Lebih menarik, kejohanan itu turut disertai aktiviti pelancongan dan kebudayaan yang dijalankan secara serentak di Dataran Perayaan bersebelahan Stadium Sarawak.
Antara acara yang mendapat perhatian ramai ialah Fiesta Ooh Haa Bola, Pertandingan Freestyle Sarawak dan Sarawak International Grassroots Football Summit 2025 yang merupakan gabungan unik antara sukan, seni dan komuniti.
Acara penutup SIYFC25 menyaksikan penyampaian hadiah dan trofi kepada pasukan yang menjuarai setiap kategori, serta penyampaian anugerah khas seperti pemain terbaik, penjaring terbanyak dan pasukan paling berdisiplin.
Dengan tema Kicking Off Dreams, Creating Champions”, SIYFC25 bukan sekadar medan mencungkil bakat bola sepak muda, tetapi juga satu platform strategik untuk mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan sukan dan budaya bertaraf antarabangsa.
Oleh Masrin Affirah