
LUSAKA: Bernd Kebbel, seorang ahli perniagaan Namibia dan dermawan terkenal yang menyokong pemuliharaan hidupan liar maut diserang singa betina ketika menyertai aktiviti safari, menurut Kementerian Pelancongan negara itu dan polis pada Sabtu.
Menurut Anadolu Ajansi (AA), Kebbel, 59, sedang berkhemah bersama isterinya, Conny, 57, dan rakan-rakan berhampiran Kem Hoanib Skeleton Coast di kawasan Sesfontein, Wilayah Kunene, kira-kira 700 kilometer di utara ibu negara, Windhoek.
Ketika isterinya sedang tidur dalam khemah di atas bumbung kenderaan mereka, Kebbel dikatakan keluar untuk membuang air kecil sebelum diserang seekor singa betina, menurut laporan awal pegawai Kementerian Pelancongan dan pihak polis di lokasi kejadian.
“Kami mengesahkan bahawa Kebbel maut dalam insiden itu,” kata jurucakap Kementerian Alam Sekitar, Perhutanan dan Pelancongan, Ndeshipanda Hamunyela kepada media tempatan.
Dalam kenyataan berasingan, jurucakap polis Namibia, Immanuel Iiduwa, berkata satu kertas siasatan berkaitan konflik antara manusia dan hidupan liar telah dibuka susulan kejadian itu.
“Terdapat usaha berani daripada rakan-rakannya yang berjaya menghalau haiwan itu, namun segalanya sudah terlambat untuk menyelamatkannya daripada kecederaan parah di leher,” katanya.
Kebbel turut dikenali dalam kalangan penggiat pemuliharaan singa padang pasir.
Menurut beberapa laporan media, insiden itu menimbulkan persoalan mengenai interaksi antara manusia dan haiwan liar di kawasan terpencil Namibia, khususnya melibatkan spesies singa yang diadaptasi dengan habitat padang pasir dan kini diancam kepupusan. – Bernama