
Kapten PSG, Marquinhos menjulang trofi Liga Juara-Juara ketika meraikan bersama rakan sepasukannya selepas membenam Inter Milan 5-0 pada final di Allianz Arena, Munich.
MUNICH: Paris Saint-Germain (PSG) memenangi Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam sejarah kelab apabila pasukan muda bimbingan Luis Enrique mempamerkan aksi cemerlang dan membelasah Inter Milan awal pagi tadi.
Ia merupakan final paling berat sebelah pernah disaksikan, dengan bintang remaja Desire Doue menjaringkan dua gol ketika kemenangan luar biasa 5-0.
Achraf Hakimi, yang beraksi menentang bekas kelabnya, menghadiahkan PSG gol pendahuluan awal dan Doue bertukar daripada pengumpan kepada penjaring apabila rembatan yang terkena pemain lawan menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-20.
Doue menjaringkan satu lagi gol sejurus selepas sejam permainan sebelum Khvicha Kvaratskhelia menambah gol keempat dan pemain gantian Senny Mayulu
Inter jelas tidak mampu menyaingi kelab Perancis itu, yang mencatat kemenangan terbesar oleh mana-mana pasukan dalam perlawanan akhir sepanjang 70 tahun sejarah Piala Eropah dan Liga Juara-Juara.
“Ini amat bermakna segala-galanya. Ini impian saya, ini impian kami. Ia luar biasa. Keputusan ini bukan berlaku secara magik. Saya gembira kami melakukannya sebegini, sekarang masa untuk meraikannya,” kata pemain tengah Portugal, Vitinha, yang menjadi antara pencetus kreativiti PSG.
Kejayaan itu hadir selepas lebih sedekad pelaburan besar oleh pemilik dari Qatar dan lima tahun selepas kekalahan mereka kepada Bayern Munich dalam penampilan final pertama.
Sudah pun memenangi liga dan piala domestik, PSG kini muncul kelab kedua Perancis yang pernah menjuarai pertandingan bola sepak kelab Eropah paling berprestij – Marseille yang pertama pada 1993 apabila mereka menewaskan AC Milan pada final yang juga berlangsung di Munich.
Ia juga gelaran Liga Juara-Juara kedua buat jurulatih PSG, Luis Enrique yang pernah menjuarainya bersama Barcelona ketika Lionel Messi masih bersama pasukan itu satu dekad lalu.
Pasukan muda PSG itu adalah yang terbaik pernah dilihat dalam pertandingan itu sejak sekian lama, dibentuk secara bijak dalam tempoh dua tahun dan benar-benar menyerlah musim ini selepas pemergian Kylian Mbappe. – AFP