
MATU: Tiga rumah panjang di Batang Lassa iaitu Rumah Geruka, Rumah Johari dan Rumah Lucy kini menikmati bekalan elektrik 24 jam sehari bermula 15 Mei lepas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, ini merupakan hasil pelaksanaan Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) Batang Lassa 2 yang bernilai RM7.7 juta dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar
“Kejayaan pelaksanaan projek RES ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
“Bekalan elektrik 24 jam ini akan membuka lebih banyak peluang dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan keluarga,” katanya demikian Majlis Mantar Gawai 2025 yang diadakan di Rumah Geruka, Batang Lassa, Matu semalam.
Tambahnya, projek yang memberi manfaat kepada 54 buah pintu rumah panjang itu dianggap sebagai hadiah bermakna sempena sambutan Gawai Dayak yang akan diraikan pada 1 Jun nanti.
Dalam majlis tersebut, Safiee Ahmad turut menyampaikan pelbagai sumbangan kepada masyarakat setempat.
Antara sumbangan tersebut termasuklah geran berjumlah RM77,000 kepada 15 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta sebuah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), penyerahan tiga buah projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 yang bernilai keseluruhan RM600,000, serta 20 unit bakul makanan kepada golongan yang memerlukan menerusi Program Saberkas Prihatin.
Ujarnya, manifestasi kepedulian kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat, lebih-lebih lagi menjelang sambutan perayaan yang sinonim dengan semangat perpaduan dan kesyukuran.
–UKAS