Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Jalan baharu, program RISDA pacu pembangunan pekebun kecil Serian
  • TEMPATAN

Jalan baharu, program RISDA pacu pembangunan pekebun kecil Serian

Utusan Sarawak 6 days ago
AMANAT… Datuk Rubiah Wang ketika menyampai ucapan pada Program Pekebun Kecil Makmur dan Sambutan Pra-Gawai RISDA Negeri Sarawak 2025 di Rumah Guang Latip, Kampung Raeh Baru, di sini, hari ini. Foto JaPen Sarawak

SERIAN: Kerajaan Persekutuan dan Sarawak terus memacu pembangunan luar bandar, termasuk kawasan pedalaman Kampung Raeh Baru, Serian, agar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan negara.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, banyak perubahan telah dinikmati penduduk luar bandar berbanding dahulu khususnya dari segi kemudahan asas.

“Kalau dahulu memang agak sukar untuk akses ke kawasan ini, dengan keadaan bentuk muka bumi yang mencabar serta ketiadaan jalan berturap menyukarkan proses perkembangan kehidupan penduduk ketika itu.

“Namun berkat keprihatinan dan kesepakatan antara pimpinan Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, jalan utama yang kita lalui tadi telah berjaya dibina dan menghubungkan lebih 10 buah kampung di kawasan ini,” katanya ketika berucap dalam Program Pekebun Kecil Makmur dan Sambutan Pra-Gawai RISDA Negeri Sarawak 2025 di Rumah Guang Latip, Kampung Raeh Baru, di sini, hari ini.

Menurut beliau, siapnya jalan perhubungan utama itu telah membuka ruang kepada pelaksanaan pelbagai projek keperluan asas seperti bekalan air bersih dan bekalan elektrik.

Tambahnya lagi, pembangunan infrastruktur yang baik ini secara tidak langsung turut menyumbang kepada peningkatan taraf ekonomi penduduk setempat.

Selain fokus terhadap pembangunan fizikal, jelas Rubiah, pelbagai program berimpak turut diperkenalkan bagi meningkatkan pendapatan rakyat khususnya pekebun kecil.

Antara inisiatif terbaharu yang dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) ialah Program Tanam Semula Berkelompok (TSB) Fasa 1 melibatkan keluasan 300 hektar di Kampung Raeh yang kini diteruskan dengan TSB Fasa 2, juga berkeluasan 300 hektar, yang telah bermula sejak tahun 2024.

“Inisiatif ini terbukti memberikan impak positif kepada ekonomi penduduk Kampung Raeh dan turut membuka mata kampung sekelilingnya untuk turut serta. Saya dimaklumkan lebih banyak permohonan telah dan akan dikemukakan bagi TSB Fasa 3 yang dijangka bermula pada 2026 nanti,” katanya.

Beliau menegaskan sambutan positif ini menunjukkan bahawa penduduk amat memerlukan bantuan kerajaan untuk memperkasa ekonomi serta meningkatkan taraf sosial mereka.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan harapan pekebun kecil getah di kawasan tersebut agar KKDW dapat mempertimbangkan pembinaan sebuah kilang pemprosesan lateks di Sarawak memandangkan kebanyakan mereka kini hanya menjual getah sekerap (scrap).

“Mereka juga teringin menjadi pemain dalam penghasilan lateks seperti di Semenanjung. Selain itu, penduduk turut menyatakan hasrat untuk memohon khidmat Ladang RISDA bagi membantu menguruskan ladang sawit mereka,” ujarnya.

Program anjuran RISDA ini turut diadakan bersempena sambutan Pra-Gawai Dayak 2025 Negeri Sarawak dengan kehadiran pekebun kecil dari seluruh kawasan berhampiran.

Oleh Norman B.

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Warga Perkhidmatan Awam Sarawak digesa perkukuh budaya kerja berprestasi tinggi
Next: 14 Projek perumahan sakit di Sarawak, beberapa bakal diisytihar terbengkalai

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.