
PETRA JAYA: Era dunia digital yang mendominasi kehidupan generasi kini menjadikan Sarawak International Youth Football Championship (SIYFC) 2025 hadir sebagai platform penting untuk melahirkan generasi muda yang cergas, sihat dan berdaya tahan.
Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, pembangunan sukan sejak usia muda sangat penting agar anak-anak hari ini tidak hanya cemerlang dalam dunia maya, tetapi juga membina kekuatan fizikal dan nilai jati diri di dunia sebenar.


SUASANA ketika Program Perasmian SIYFC25 sedang berlangsung di Stadium Sarawak.
“Ini bukan sekadar kejohanan bola sepak, ini satu bentuk pembangunan, kita nak generasi muda yang sihat tubuh badan, berdisiplin, tahu bekerjasama dan tidak hanya bergantung kepada teknologi semata-mata.
“Kalau kita nak lahirkan bintang sukan masa depan, mesti dibentuk bermula dari bawah dari padang rumput dan kasut kecil inilah bermulanya impian besar.
“Selain daripada itu riadah seperti ini cukup baik sekali untuk anak-anak kini daripada mereka hanya bermain main video game di rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Program Perasmian SIYFC25 di Stadium Sarawak, hari ini.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga melihat keterlibatan aktif peserta perempuan dalam kejohanan tersebut, membuktikan bola sepak kini terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira jantina.
“Saya cukup teruja melihat penyertaan pemain perempuan semakin ramai. Ini satu perkembangan positif.
“Kita mahu anak-anak kita, lelaki dan perempuan, membesar dalam persekitaran sihat dan seimbang.
“Bukan hanya anak-anak yang turun padang, ibu bapa pun ikut serta. Ini suasana yang kita mahu dimana satu keluarga bersatu, membina kenangan dan sokongan moral bersama,” ujarnya.
Tambah beliau, kejohanan tersebut turut menarik penyertaan dari luar Sarawak, termasuk Kalimantan dan Indonesia, sekali gus mengangkat nama Sarawak sebagai tuan rumah kejohanan belia bertaraf antarabangsa.
Kejohanan SIYFC25 kali ini mencatatkan penyertaan luar biasa dengan 12 akademi bola sepak, membariskan 36 pasukan lelaki dan 17 pasukan perempuan, kesemuanya dalam kategori bawah 12 tahun.
Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak menegaskan komitmennya untuk terus menyokong program pembangunan akar umbi seperti ini demi memastikan generasi muda Sarawak terus berkembang dalam bidang sukan secara seimbang dengan arus kemajuan teknologi.
Oleh Masrin Affirah