
PETRA JAYA: Sarawak kini giat melaksanakan transformasi ke arah model pembangunan hijau, dengan fokus utama kepada pengurusan hutan secara mampan, pemuliharaan biodiversiti dan pendigitalan operasi berkaitan sumber semula jadi.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata pendekatan ini penting untuk memastikan khazanah hutan negeri dimanfaatkan secara lestari melalui pengurusan modal semula jadi yang mampan.
“Setakat ini, Sarawak berjaya mengekalkan kawasan hutan seluas 7.65 juta hektar, iaitu kira-kira 62 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri.
“Daripada jumlah ini, 1.83 juta hektar telah mendapat pensijilan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) yang diiktiraf oleh Program Pengesahan Pensijilan Hutan (PEFC),” katanya dalam ucapan penggulungan di DUN Sarawak, hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa dalam usaha mendigitalkan pengurusan hutan, Jabatan Hutan Sarawak telah membangun dan mengadaptasi teknologi satelit serta Sistem Maklumat Geografi (GIS) menerusi Sistem Pengurusan Maklumat Hutan (EFIMS).
Selain itu, sistem Portal Lesen Hutan, yang merangkumi modul Electronic Removal Pass (ePASS), turut diperkenalkan bagi menggantikan penggunaan pas pemindahan kayu pra-cetak.
“Sistem Sistem Pengesanan Balak Sarawak dan Hasil Hutan (REVLOG) pula digunakan untuk memantau hasil hutan dan memastikan kebolehjejakan (traceability) kayu dilakukan secara telus dan efisien,” tambahnya.
Menurut beliau, inisiatif-inisiatif berkenaan meletakkan Sarawak sebagai peneraju dalam pengurusan hutan tropika secara mampan, sejajar dengan prinsip utama dalam Sistem Jaminan Kesahan Kayu (TLAS) serta pematuhan terhadap Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
Di bawah Program Penghijauan Malaysia menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, Sarawak telah mencatat kejayaan besar dengan menanam sebanyak 47.4 juta pokok, jauh melebihi sasaran kebangsaan sebanyak 35 juta pokok.
“Bagi inisiatif ladang hutan, setakat ini, sebanyak 615,172 hektar telah dibangunkan, sekali gus memperkukuh komitmen Sarawak dalam pemulihan hutan dan memastikan sumber kayu mampan untuk generasi akan datang,” katanya.
Dengan pelaksanaan pelbagai langkah berterusan ini, Sarawak terus menunjukkan komitmen tinggi sebagai negeri yang proaktif dalam mengurus dan memulihara sumber semula jadi demi kesejahteraan masa depan.
Oleh Norman B.