
Lebih sejuta jemaah haji selamat tiba di Tanah Suci setakat ini. - Foto BERNAMA
RIYADH: Kerajaan Arab Saudi mengumumkan bahawa ibadah haji tahun ini akan bermula pada 4 Jun, susulan cerapan anak bulan yang menandakan permulaan bulan Zulhijjah dalam kalendar Islam.
Tarikh berkenaan diumumkan oleh Arab Saudi menerusi satu kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi negara itu, Saudi Press Agency (SPA).
Dalam sidang media pada Isnin, Menteri Haji Arab Saudi, Dr Tawfiq al-Rabiah memaklumkan bahawa lebih sejuta jemaah dari seluruh dunia sudah tiba di negara itu bagi menunaikan ibadah haji.
Tahun lalu, seramai 1.8 juta umat Islam menunaikan ibadah haji, menurut angka rasmi yang dikeluarkan pihak berkuasa Arab Saudi.
Tarikh ibadah haji ditentukan mengikut kalendar Islam yang berasaskan peredaran bulan, dan oleh itu berubah setiap tahun.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, musim haji jatuh pada musim panas yang terik di Arab Saudi.
Pada 2024, suhu mencecah 51.8 darjah celsius dan lebih 1,300 jemaah dilaporkan meninggal dunia akibat cuaca panas melampau pada Jun, menurut pihak berkuasa.
Jemaah akan menyertai siri ibadah selama empat hari, dengan kemuncaknya berlaku pada hari kedua, iaitu ketika jutaan jemaah berkumpul untuk berwukuf di Padang Arafah yang juga lokasi di mana Nabi Muhammad SAW dipercayai menyampaikan khutbah terakhir Baginda.
Tahun ini, Hari Wukuf dijangka jatuh pada 5 Jun, manakala sambutan Aidiladha pula akan disambut keesokan harinya, menurut agensi berita Arab Saudi.– AFP