KUCHING: Warga bandar raya ini sekali lagi membanjiri pasar raya di sekitar kediaman masing-masing sambil kelihatan ‘serangan panik’ membeli barangan keperluan masing-masing.
Tinjauan Utusan Sarawak di beberapa buah pasar raya di sekitar Metrocity di sini semalam, mendapati orang ramai memenuhi troli masing-masing dengan stok makanan sekiranya berlaku Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri ini.
Dipintu masuk pasar raya kelihatan pihak pengurusannya memantau orang ramai agar berbaris untuk masuk ke dalam dengan mengamalkan penjarakan 1 meter.
Namun ketika pemberita menjengah ke dalam pasar raya, kelihatan hampir tiada ruang untuk berjalan berikutan orang ramai berbaris panjang untuk membayar di kuanter pembayaran.
“Nasib baik ada troli untuk meletakkan barang yang dibeli, ia membolehkan kami menjarakkan diri masing-masing,” ujar Siti salah seorang pelanggan yang ditemui dan enggan dikenali di salah sebuah pasar raya berkenaan.
Manakala seorang pesara, Mustapha, yang ditemui berharap pihak pasar raya kembali mengamalkan had kemasukan pelanggan.
“Walaupun kita disuruh berbaris namun apabila bilangan pelanggan yang masuk tidak dihadkan, maka pematuhan standard operasi prosedur (SOP) dan penjarakan 1 meter seolah-olah tidak berkesan,” jelasnya.
Rata-rata orang ramai yang ditemui enggan ditemubual kerana dalam keadaan tergesa-gesa ingin membeli dengan cepat dan mahu terus keluar daripada kesesakan ‘serangan panik’ berkenaan.