TANJUNG MANIS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Tanjung Manis berjaya menahan sebuah Bot Nelayan Tempatan (BNT) Kelas B pada kedudukan lebih kurang 3.5 batu nautika barat laut Tanjung Manis sekitar jam 11.30 pagi kelmarin (25 Julai).
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mohd Ariz Md Kassim berkata, menerusi operasi dan melaksanakan rutin rondaan harian yang dilakukan oleh Maritim Malaysia di sekitar perairan Tanjung Manis, sebuah bot nelayan tempatan telah dikesan dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tersebut telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(4)(b) Akta Perikanan 1985 iaitu tidak mengusahakan sendiri bot nelayan tersebut untuk menangkap ikan.
Kesemua empat kru termasuk tekong adalah lelaki warga tempatan dan berusia di antara lingkungan umur 23 tahun hingga 60 tahun,” katanya menerusi satu kenyataan media, petang semalam.
Katanya, bot berkenaan bersama peralatan menangkap ikan dan ikan campur anggaran 240 kilogram ditahan dan dibawa ke Jeti LKIM, Tanjung Manis untuk siasatan lanjut oleh Pegawai Penyiasat, Zon Maritim Tanjung Manis.
Ariz menegaskan Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Manis telah menerima aduan daripada nelayan-nelayan tradisional bahawa masih terdapat nelayan kelas B dan C yang menunda ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.
“Pihak kami akan sentiasa mempertingkatkan pemantauan, rondaan dan akan mengambil tindakan ke atas bot-bot yang melanggar serta menyalahi syarat-syarat perlesenan di bawah Akta Perikanan 1985.
“Sebarang aduan aktiviti jenayah serta kecemasan di laut, orang awam bolehlah menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544 atau pun MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” ujarnya.
Oleh Earl Anek