Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Denyut kata, getar makna: Menelaah lakaran puitika dalam puisi
  • WBS

Denyut kata, getar makna: Menelaah lakaran puitika dalam puisi

Utusan Sarawak 3 days ago

MENUKANGI puisi memerlukan masa kerana ketelitian menyaring kata, idea dan gagasan pemikiran menuntut waktu yang panjang. Justeru, menghasilkan puisi yang indah dan mengesani emosi, nilai dan pemikiran pembaca ialah suatu perjalanan yang mencabar. Syabas kepada Hipnie Sharbini, Mohd Noor Asa’a dan Shahiza Amira yang telah memulakan perjalanan itu. Pada ruangan ini, kita akan sama-sama menelaah sejauh mana, denyut kata yang dihadirkan oleh penulis-penulis ini menggetarkan makna melalui kehadiran unsur puitika.

Puisi sebagai cabang seni sastera memiliki keistimewaan tersendiri dalam menyampaikan mesej melalui bentuk bahasa yang padat, simbolik dan sarat makna. Salah satu elemen penting dalam membentuk puisi yang bermutu ialah kehadiran unsur puitika. Unsur puitika bukan sekadar alat keindahan bahasa tetapi berperanan membina struktur, menyampaikan makna, menghidupkan emosi dan memuatkan nilai budaya lewat puisi.

Metafora, personifikasi dan simile yang digunakan dalam puisi misalnya, boleh menggambarkan adat, nilai murni dan cara hidup masyarakat. Sebagai contoh, “sungai bening” dapat menjadi lambang kesabaran dan warisan desa. Simbol tempatan dalam puisi seperti “keris”, “gunung” dan “padi” menjadi cerminan jati diri bangsa. Dalam konteks ini, unsur puitika dapat memelihara dan menyampaikan nilai budaya secara halus dan bermakna di samping menghidupkan semula warisan bangsa melalui simbol, imej, kiasan dan gaya penyampaian yang berpaksikan budaya tempatan. Ringkasnya, unsur puitika bukan sekadar memperindah puisi, tetapi menjadi jambatan antara estetik dan warisan budaya, menjadikan puisi bukan sahaja indah didengar, tetapi bernilai dalam menjaga identiti bangsa.

Puitika puisi secara teorinya memberi tumpuan kepada unsur estetika, gaya bahasa, simbol, kiasan dan makna dalam sesebuah puisi. Dalam esei ini, puitika tiga puisi iaitu “Tinta Tak Pernah Tua”, “Dialah Guru” dan “Hari Pertama Sekolah” akan ditelaah sebagai salah satu parameter bagi mengukur ‘makam’ puitika puisi-puisi ini. Pada akhirnya pembacalah yang menentukan makam tersebut. Teori puitika memberi penekanan kepada kefungsian bahasa dan keindahan bentuk puisi. Menurut Roman Jacobson (1986-1982), ahli linguistik dan ahli teori sastera kelahiran Rusia, “the poetic function projects the principle of equivalence from the axis of selection into the axis of combination”. Maknanya, puisi menonjolkan hubungan antara pemilihan kata dengan susunannya untuk menghasilkan kesan estetika yang tinggi.

Kehadiran unsur puitika menyuntik impak tersendiri terhadap puisi yang dihasilkan, termasuklah meningkatkan estetika bahasa dengan unsur puitika seperti metafora, personifikasi dan aliterasi yang berupaya memperkaya keindahan bahasa dalam puisi. Umum mengetahui puisi sinonim dengan keindahan yang disifatkan oleh SN Muhammad Haji Salleh (1991) sebagai jantung puisi. Tanpa estetika, puisi kehilangan daya magisnya. Estetika memberi roh dan jiwa kepada setiap bait puisi. Selain itu, dalam konteks penyampaian mesej, unsur puitika berupaya menyampaikan makna secara halus melalui gaya bahasa kiasan yang membolehkan penyair dapat menyampaikan mesej secara tersirat dan mendalam. Dalam hal ini, Baha Zain menegaskan bahawa “puisi adalah wahana makna yang tersirat, bukan sekadar apa yang dikata, tetapi apa yang dirasa.”

Puitika dalam puisi juga membantu menghidupkan emosi pembaca. Irama dan simbol dalam puisi merangsang emosi dan menggugah rasa pembaca. Unsur puitika mencetuskan pelbagai rasa seperti kagum, sedih, haru, hiba atau semangat yang mendalam dalam diri pembaca. Tidak hairanlah Northrop Frye (1957) merujuk puisi sebagai “the language in which man explores his own amazement.”

Selain itu, gaya puitika juga memperkaya daya imejan dalam puisi. Objek biasa dapat menjadi luar biasa. Dalam hal ini, Shamsuddin Othman menyatakan bahawa bahasa puitika mengangkat realiti ke dalam dimensi keindahan. Daya imejan, iaitu keupayaan imaginasi seseorang dalam mencipta gambaran atau imej dalam fikiran yang berkesan membuatkan puisi mudah diingati dan dibayangkan. Kehadiran unsur puitika dalam puisi juga menjadikan puisi relevan sepanjang zaman. Prof. Rahman Shaari menyatakan bahawa struktur dan keindahan puitika menjadikan puisi terus hidup dalam ingatan masyarakat.

Unsur puitika membina kesedaran dan renungan terhadap isu kehidupan. Kebijaksanaan bermain dengan puitika membantu mewujudkan identiti penyair. Gaya puitika menjadi ‘cap jari’ seorang penyair. Unsur ini menjadikan puisi lebih peribadi dan ikonik. Unsur puitika juga membina keutuhan struktur puisi dengan kehadiran pengulangan, enjambment dan rima yang menjadikan puisi teratur dan harmoni. Roman Jacobson menekankan bahawa puisi bukan hanya apa yang dikatakan, tetapi bagaimana ia dibina secara berstruktur. Unsur puitika juga dapat menyatukan bentuk dan isi. Unsur puitika yang berkesan membolehkan puisi menjadi medium pendidikan dan perubahan sosial kerana mesej sosial dapat lebih menyentuh hati. Perkara ini sejajar dengan apa yang ditegaskan oleh Usman Awang bahawa puitika ialah suara batin. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa unsur puitika berupaya menjadikan puisi alat perjuangan yang berkesan.

Kesimpulannya, unsur puitika bukan hanya memperindah puisi, tetapi juga memperkaya maknanya. Ia mengangkat puisi daripada sekadar tulisan kepada pengalaman estetik, intelektual dan emosi yang mendalam. Penyair yang menguasai puitika mampu menyampaikan pemikiran dan nilai-nilai masyarakat secara indah, bermakna dan berkekalan. Oleh itu, dalam dunia puisi, puitika ialah nadi yang tidak boleh diabaikan.

Puisi “Tinta Tak Pernah Tua” karya Hipnie Sharbini menonjolkan penghargaan terhadap jasa seorang guru yang telah bersara tetapi tetap menyumbang melalui penulisan dan pemikiran. Gaya bahasa puisi ini penuh dengan metafora seperti “gema dalam setiap hela nafas waktu” dan personifikasi “kerusi pengetua sunyi” yang menggambarkan detik persaraan yang menghadiahkan kesepian. Penggunaan kiasan “seperti rukuk sunyi yang tak pernah berhenti” mengangkat tugas mendidik sebagai ibadah yang tidak putus.

Simbol utama puisi ini ialah “tinta” yang mewakili ilmu, tulisan dan perjuangan intelektual yang tidak pernah lapuk. Tema utama puisi ini ialah kelestarian peranan seorang pendidik yang tidak terhenti di bilik darjah semata-mata. Keindahan puisi ini terletak pada kelembutan bahasanya yang puitis serta emosi kagum dan hormat yang ditimbulkan terhadap sosok guru.

Melalui puitika, kita dapat menelusuri struktur puisi yang tidak terlalu panjang tetapi tersusun secara berlapis, memberikan kesan tersendiri kepada pembaca tentang nilai pendidikan sepanjang hayat. Diksi yang dipilih memperlihatkan unsur kematangan dan penghormatan terhadap guru sebagai individu luar biasa. Hal ini sejajar dengan pandangan Aristotle yang merujuk puisi sebagai “pembawa mesej universal. Dalam puisi ini, perjuangan guru dapat ditanggapi oleh pembaca sebagai melangkaui waktu dan tempat.

Bagi menambah muatan puitika yang lebih mengesankan dalam puisi “Tinta Tak Pernah Tua”, puisi alternatif berikut boleh dijadikan perbandingan. Antaranya termasuklah penggunaan simbolisme yang lebih mendalam, irama dan pengulangan yang berkesan serta gaya bahasa segar dan padat makna yang dapat menjadikan nada kontemplatif dan penghargaan terhadap guru lebih terzahir:


Pada usia enam puluh enam
engkau bukan sekadar nama
terukir
di papan kenangan sekolah
tetapi gema dalam setiap hela
waktu
yang menyusun aksara
dengan sabar seorang mursyid.

Langkahmu dulu menggema
di lorong ilmu
mengutip pagi anak bangsa
dengan suara yang bukan sekadar
arah
tetapi zikir yang meresap di dada
muda
yang mencari cahaya.

Setelah kerusi pengetua kini
menjadi sunyi dan berdebu
engkau masih berdiri di sisi kata
membasuh dunia dengan puisi
seperti rukuk sunyi
yang tidak kenal penamat
kerana engkau tahu
mendidik itu bukan hanya
antara dinding dan jadual
tetapi dalam bait-bait yang
menggugah
dalam tinta yang tak pernah letih
mengeja makna kehidupan.

Mohd Noor Asa’a memfokuskan kepada peranan dan sumbangan guru di kawasan luar bandar yang gigih mendidik anak bangsa tanpa mengharapkan balasan dalam puisi “Dialah Guru”. Gaya bahasa yang digunakan ringkas tetapi meninggalkan kesan tertentu. Contohnya melalui simile “seperti air sungai jernih yang tak pernah berhenti mengalir ke laut” yang melambangkan keikhlasan dan ketekunan guru. Simbol-simbol alam seperti “sungai”, “muara” dan “arus” digunakan untuk membayangkan perjalanan ilmu yang panjang dan mengalir daripada guru kepada murid. Tema puisi ini menekankan nilai keikhlasan, pengorbanan dan kemuliaan tugas seorang pendidik. Keindahan puisi ini terletak pada simbolisme dan ritma yang membina suasana tenang dan penuh penghargaan.

Dari sudut puitika, penyair menggunakan struktur yang progresif, iaitu daripada pengenalan guru, kepada peranan dan akhirnya kesan jangka panjang terhadap murid dan negara. Ini menunjukkan pertumbuhan linear yang mencerminkan proses pendidikan itu sendiri. Unsur pengulangan kata “guru” yang disandarkan kepada “bijaksana” dan “wibawa” menjadi penanda identiti dan penghormatan. Kata-kata Muhammad Haji Salleh bahawa puitika Melayu mencerminkan nilai budaya dan pemikiran terserlah dalam puisi ini, yakni alam dijadikan simbol perjuangan ilmu dan nilai guru dalam membentuk tamadun bangsa.

Simbolisme “air sungai jernih” digunakan sebagai simbol ketulusan dan ketekunan seorang guru. Air yang mengalir secara berterusan melambangkan pengorbanan tanpa mengharapkan balasan. Ungkapan “seperti air sungai jernih/ yang tak pernah berhenti/mengalir ke laut” membawa makna tersendiri. Simbol ini sangat bermakna kerana menggambarkan usaha guru sebagai berterusan, tidak mementingkan diri dan tidak pernah berhenti memberi. Selain itu unsur personifikasi “mengalirkan hikmah/ke jiwa anak bangsa” menggambarkan “air” seolah-olah mampu “mengalirkan hikmah”, satu contoh personifikasi yang memberi kekuatan puitika kepada gambaran pengaruh guru.

Seterusnya gaya bahasa kiasan dan imej visual seperti “berbekalkan sarat ilmu/di kantung minda” membantu pembaca melakar imaginasi. Frasa ini menggunakan metafora “kantung minda” sebagai tempat menyimpan ilmu memperlihatkan imejan unik tentang kecerdasan guru. Puisi ini juga dimuatkan dengan nilai kemelayuan seperti hikmah, jati diri, akhlak dan santun pekerti, menjadikannya wadah pendidikan budaya yang kuat. Contohnya pada ungkapan “menjadi insan mulia dan perkasa/mewarisi santun pekerti”. Nada penghargaan dan kekaguman terhadap guru sangat konsisten sepanjang puisi menjadikan setiap bait terasa jujur dan menyentuh emosi pembaca. Baris seperti: “demi cita-cita/menegakkan tiang peradaban” menunjukkan guru bukan sekadar pendidik, tetapi arkitek tamadun.

Kesimpulannya, “Dialah Guru” memperlihatkan penggunaan unsur puitika yang bermakna melalui simbolisme alam, gaya bahasa yang imaginatif, nilai budaya dan nada penghargaan yang kuat. Unsur-unsur ini bukan hanya memperindah puisi, tetapi menyampaikan penghormatan mendalam kepada profesion keguruan, menjadikannya bukan sekadar puisi, tetapi doa dan apresiasi yang hidup dalam bahasa. Bagi menyerlahkan muatan puitika puisi ini, dari segi irama, simbolisme, metafora dan kesegaran gaya bahasa tanpa mengubah maksud asalnya maka puisi alternatif berikut boleh diteliti:

Di bawah redup bumbung desa
Dialah guru mata air hikmah
menyiram benih anak bangsa
dengan sabar tak bertara
seperti alir sungai tua yang tak jemu
mencari laut

Berbekal cahaya ilmu
di kantung fikir dan jiwa tulus
dia menapak hari-hari
mengasah jati memurni pekerti
membentuk diri jadi permata
yang bersinar dari dalam
dengan senyum dia menyapu duka
menyalin luka menjadi semangat

Dialah tiang yang diam berdiri
menegakkan madrasah peradaban
demi harapan nusa dan bangsa
agar esok menjelma
manusia yang tahu asalnya
dan tahu ke mana hendak melangkah.

Puisi “Hari Pertama Sekolah” pula merakam detik emosional hari pertama anak ke sekolah, dilihat dari perspektif seorang ibu. Gaya bahasa yang digunakan penuh emosi dan lembut, seperti “ribaan ibu”, “kehangatan pelukan” dan “kelopak matamu semakin berkaca” yang menggambarkan kasih sayang dan kebimbangan seorang ibu. Simbol “tangan ibu”, “seragam baru” dan “bangku sekolah” digunakan untuk menunjukkan peralihan fasa kehidupan dan permulaan pembelajaran formal. Tema utama puisi ini ialah peralihan hidup, kasih ibu dan harapan yang dititipkan kepada anak. Nilai estetik puisi ini terserlah melalui penyampaian yang ikhlas dan dekat dengan pengalaman universal para ibu bapa.

Dari sudut teori puitika, struktur puisi ini mengandungi keseimbangan antara naratif masa lalu dan masa kini. Pengulangan frasa “lima tahun yang lalu” memperkuat unsur temporal dan psikologi, yang akhirnya berpaksi pada momen emosional, iaitu hari pertama persekolahan. Keutuhan pengalaman emosi ini menjadikan puisi ini agak kuat dari sudut pengalaman pembaca. Sepertimana pendapat Northrop Frye (1957) yang dinyatakan sebelum ini, puisi ini membuktikan bahawa pengalaman kecil seperti menghantar anak ke sekolah boleh menjadi wahana kekaguman terhadap makna kasih sayang dan pembentukan identiti.

Simbol yang lebih hidup dan gaya bahasa penuh emosi dan imaginatif serta ritma yang lebih seimbang boleh menjadikan nada kasih yang menyentuh. Sekadar perbandingan bertujuan menambah pemahaman tentang pemuatan elemen puitika dalam puisi, rangkap puisi alternatif yang dicadangkan adalah seperti berikut:

Lima tahun yang lalu
engkau masih berteduh di bawah
nafas ibu
tersenyum dalam pelukan hangat
seperti benih kecil yang baru
mengenal cahaya pagi
kau genggam tangan ibu
seolah-olah memahami betapa
dunia di hadapan
menjadi angin atau gelora.

Lima tahun yang lalu
kau belajar bertatih di lantai
kesabaran
jatuh dan bangkit dengan mata
berkaca
namun langkahmu tak pernah mundur
percayalah, air mata kecil itu
adalah mata air kedewasaanmu.

Hari ini, kau melangkah ke pintu
sekolah
dengan seragam putih harapan
mata bersinar oleh semangat
hati bergelora dalam gembira
teman-teman seakan bintang baru
di langit kecil duniamu

Hari ini juga, ibu membekalkan doa
dalam setiap lipatan pakaianmu
menyisipkan kasih dalam bekalmu
agar langkahmu tenang
dan hatimu berani
menerima teguran, didikan,
persahabatan.

Di ruang ini
kau akan belajar menerima dan
memberi
belajar berdiri dalam dunia kecilmu
yang perlahan-lahan membentuk dunia
dewasamu kelak.

Maka bergembiralah, anakku
tuntut ilmu seperti menimba cahaya
bermainlah seperti mencipta langit.
dan pulanglah setiap petang
dengan cerita baharu
tentang menjadi manusia.

Menghadirkan unsur puitika yang bermakna dalam puisi bukan hanya soal keindahan bahasa, tetapi bagaimana keindahan itu menyampaikan makna, membangkitkan emosi dan menyentuh jiwa pembaca. Dalam mengesani unsur puitika yang dihasilkan dalam puisi ini, Hipnie, Mohd Noor dan Shaziza didapati menggunakan beberapa cara, termasuklah menggunakan simbol yang relevan. Simbol mewakili idea atau emosi yang lebih besar. Lambang yang dekat dengan budaya atau pengalaman pembaca dipilih seperti “sungai” sebagai simbol perjalanan hidup. Selain itu, ketiga-tiga penulis menzahirkan usaha menggunakan gaya bahasa kiasan yang menggugah bagi membangkitkan lapisan makna terutamanya metafora, dan personifikasi walaupun belum sepenuhnya bebas daripada kiasan yang klise atau bersifat umum.

Bagi menyerlahkan lagi elemen puitika dalam puisi, cadangan penambahbaikan berikut boleh diberi perhatian. Pertama; wujudkan irama dan muzikaliti bahasa dengan memilih perkataan yang mempunyai bunyi yang mengalun. Hal ini boleh dilaksanakan dengan menghadirkan asonansi, aliterasi dan pengulangan secara bijaksana. Bunyi dapat membantu memori dan emosi pembaca terikat kepada puisi. Contohnya, “langit luka lalu langit derita. Kedua; pemikiran atau renungan falsafah boleh diselitkan. Unsur puitika menjadi lebih bermakna jika ia membawa pembaca kepada pertanyaan hidup, nilai atau moral. Dalam hal ini, paradoks, pertanyaan retorik atau ironi boleh digunakan untuk tujuan membina lapisan makna. Misalnya, “apakah dunia masih bersekolah/jika gurunya kehilangan suara”. Ketiga; elemen puitika juga dapat diadun dengan mengambil inspirasi daripada pantun, gurindam, peribahasa atau lambang alam tempatan yang dapat memberi identiti dan jati diri kepada puisi seperti “pohon sena pun tunduk diam/saat ilmu gugur tanpa salam”. Keempat; pemilihan kata yang sarat makna dan emosi, iaitu menggunakan kata-kata yang kaya konotasi dan bukan denotasi semata-mata. Pemilihan perkataan hendaklah tepat, padat, menyentuh dan elakkan kata yang berlebihan. Misalnya “duka itu bukan luka/ia adalah rindu yang kehilangan rumah”. Kelima; membina imej visual yang kuat. Puitika yang bermakna juga perlu dilihat, didengar, dirasa melalui deria dalam gambaran puisi. Imej konkrit mencipta impak lebih besar daripada semata-mata abstrak.

Melalui pendekatan teori puitika, ketiga-tiga puisi ini memperlihatkan kekuatan dari aspek gaya bahasa, simbolisme dan makna yang tersendiri. Kesemua puisi ini membuktikan bahawa puisi mampu menjadi medium refleksi sosial, emosi dan budaya yang tinggi nilainya dalam dunia kesusasteraan. Teori puitika menelusuri bukan sahaja bentuk luaran tetapi juga inti pati puisi yang menjadi nadi utama estetika sastera. Melalui teori ini, pembaca bukan sekadar menikmati keindahan kata, tetapi memahami kedalaman makna, fungsi simbol dan struktur yang menyatukan keseluruhan puisi secara harmoni dan menyentuh jiwa.

Oleh Dayang Azizah binti Mohd Salleh

Continue Reading

Previous: Dusun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.