Lebih 1,000 peminat meriahkan sesi temu mesra bintang Manchester United

Facebook
WhatsApp
PENGURUS Manchester United, Ruben Amorim menghadiri sesi bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelang pertembungan Red Devils menentang ASEAN All-Stars esok. Pertemuan istimewa itu berlangsung sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Mesyuarat Berkaitan di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 peminat Manchester United memeriahkan sesi temu mesra bersama bintang kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di sebuah pusat beli belah terkemuka di sini, hari ini.

Sesi temu mesra itu antaranya melibatkan ketua pasukan Bruno Fernandes bersama-sama Manuel Ugarte, Amad Diallo, Alejandro Garnacho dan Kobbie Mainoo.

Suasana juga gamat apabila peminat melaungkan ‘chant’ terkenal Manchester United yang sering kedengaran di gelanggang keramat kelab itu, Old Trafford seperti Glory Glory Man UnitedBruno Bruno Bruno dan Viva Garnacho.

Kehadiran skuad The Red Devils di sini sempena aksi pascamusim pasukan itu menentang ASEAN All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 8.45 malam esok.

Biarpun menutup saingan saingan EPL musim 2024/2025 di tangga ke-15, ia sama sekali tidak melunturkan semangat peminat tegar pasukan ternama itu yang hadir memberikan sorakan, bergambar kenangan serta mendapatkan tandatangan daripada pemain kesayangan mereka.

Skuad kendalian Ruben Amorim itu menyenaraikan 32 pemain bagi aksi persahabatan berkenaan sebelum menentang pasukan kebangsaan Hong Kong di Stadium Hong Kong, Jumaat ini.

Kali terakhir Manchester United beraksi di Malaysia ialah pada siri jelajah pramusim 2009, menewaskan Malaysia XI dua kali, 3-2 dan 2-0, masing-masing pada 18 dan 20 Julai di SNBJ.

-Bernama