
PETRA JAYA: Prestasi destinasi pelancongan Sarawak kekal kukuh dengan mencatatkan skor pengalaman pelawat (Total Experience Score, TES) sebanyak 8.7 pada Mac 2025, peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, skor tersebut adalah hasil daripada pemantauan data dan maklum balas pelawat yang diperoleh melalui platform seperti Google Reviews, Agoda, Booking.com, TripAdvisor dan Expedia.

“Prestasi destinasi Sarawak pada Mac 2025 mencerminkan keyakinan dan kepuasan pelawat terhadap pengalaman menyeluruh yang ditawarkan negeri ini.
“Skor purata 8.6 daripada 10 untuk penarafan berangka dan 8.8 bagi sentimen menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun lalu.
“Sekali gus mengukuhkan reputasi Sarawak sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Tambah beliau, Sarawak Tourism Board (STB) telah melaksanakan 24 inisiatif pemasaran pada suku pertama tahun ini, merangkumi pasaran domestik, ASEAN, Asia Utara, Eropah, Oceania dan pasaran baharu.
“Aspek lokasi geografi Sarawak mencatat skor tertinggi dengan 9.1, diikuti oleh makanan dan minuman serta perkhidmatan hospitaliti masing-masing dengan skor 9.4 dan 8.8.
“Ini jelas menunjukkan kekuatan kita dalam menyediakan pengalaman yang autentik dan memuaskan.
“STB turut menjalankan empat tinjauan pasaran di Eropah, India, Indonesia dan domestik sebagai asas penyelidikan dan pembangunan (R&D) berpandukan kecerdasan pasaran,” jelasnya.
Beliau mengulas lanjut bahawa melalui inisiatif seperti Strategic Partnership Collaboration Fund dan Visitors Incentive Programme, keterlihatan Sarawak di pentas global terus diperkukuhkan selain memberi sokongan terus kepada pemain industri tempatan.
“Sehingga kini, STB telah menerima 56 permohonan di bawah dana kerjasama strategik (SPCF) dan 73 permohonan program insentif pelawat (VIP), dengan jumlah agihan sebanyak RM615,000 atau 49 peratus daripada keseluruhan bajet kedua-dua program.
“STOEF (Sarawak Tourism Online Ecosystem Fund) juga kini meliputi sokongan kepada penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI), termasuk chatbot dan sistem inventori automatik yang dapat meningkatkan kecekapan serta pengalaman pelancong.
“Sarawak turut menerima pelbagai anugerah antarabangsa pada 2024, antaranya Adrian Award oleh HSMAI di New York, Tourism Board Campaign of the Year–Malaysia di Singapura, dan Putra Aria Brand Award bagi kategori Pelancongan,” ujarnya.
Peningkatan prestasi tersebut mencerminkan keberkesanan strategi pelancongan negeri yang berlandaskan inovasi, data dan promosi bersasar ke arah menjadikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan mampan dan bertaraf dunia.
Oleh Masrin Affirah