
SIBU boleh dikatakan sebagai Mutiara Sungai Rajang telah berkembang sejak 1860-an, dan mula menyaingi Kanowit dalam aktiviti perdagangan.
Pada 1871, Sibu mempunyai kira-kira 60 rumah kedai, dan perkembangan ini menunjukkan bandar tersebut mula meningkat statusnya sebagai pusat perdagangan penting di Lembah Sungai Rajang.
Akhirnya pada 1880, Sibu mengatasi Kanowit sebagai pusat perdagangan utama di Lembah Sungai Rajang.
Perkembangan ini dipacukan lagi apabila pada 1890, pihak kerajaan Brooke menjadikan Sibu sebagai pejabat Residen di bandar tersebut.
Keadaan ini telah membawa kepada peningkatan jumlah penduduk di bandar tersebut.
Peningkatan ini seterusnya mendorong kepada pembinaan banyak rumah kedai, seperti yang telah dijelaskan sebelum ini.
Namun, dalam keghairahan untuk berniaga dan berdagang, aspek keselamatan telah terabai.
Akibatnya, berlaku satu kejadian kebakaran besar di bandar tersebut pada 1889.
Sebelum ada simen sebagai bahan digunakan untuk membuat bangunan, kayu menjadi bahan utama dalam pembinaan bangunan-bangunan di Sibu.
Keadaan serupa juga dengan pembinaan deretan rumah kedai di Sibu.
Kayu yang mereka gunakan juga bukannya kayu biasa tetapi kayu belian yang dianggap utuh dalam pembinaan sesebuah bangunan.
Malam
Kejadian kebakaran ini berlaku pada lewat tengah malam, 10 Februari 1889.
Februari masih dianggap sebagai musim landas, iaitu tempoh di mana hujan turun hampir setiap hari.
Namun begitu, keadaan cuaca ini tidak menghalang berlakunya kebakaran tersebut.
Sekitar 1.30 pagi, kebakaran dari salah sebuah rumah kedai mula disedari.
Untuk menyedarkan penduduk yang nyenyak tidur, maka gong telah dipalu dengan bertalu-talu.
Paluan yang kuat dan kencang ini menyedarkan penghuni yang nyenyak tidur dan dilamun mimpi. Keadaan ini menyebabkan suasana panik dan cemas penghuni rumah kedai.
Dalam suasana ini pekedai-pekedai bertindak untuk menyelamatkan barang-barang mereka daripada dijilat api.
Belian
Keutuhan kayu belian sebagai bahan binaan rumah kedai ini tidak dapat menghalang kebakaran ini terus merebak.
Harapan mereka juga kepada tiupan angin yang akan mengubah haluan kebakaran ini juga mengecewakan.
Ini kerana angin yang bertiup tiba-tiba berubah arah dan menyemarakkan lagi kebakaran yang ada.
Apa yang ada ketika itu hanyalah harapan kepada bantuan kerajaan yang mana residen, C. A. Bampfylde berusaha dengan pantas memikirkan cara terbaik untuk mengelak kebakaran ini daripada menjadi lebih buruk.
Beliau bersama-sama dengan pasukan yang ada iaitu pasukan polis dan Sarawak Rangers cuba memadamkan api tersebut. Ketika itu, pasukan bomba belum lagi wujud untuk membantu memadamkan api.
Pasukan yang ada ini berusaha untuk memadamkan api merebak tetapi mereka menghadapi cabaran besar dengan kebakaran yang semakin marak oleh angin dan bahan kayu yang membina rumah kedai tersebut.
Keharmonian
Sebalik masalah memadamkan api ini, timbul kisah perpaduan dan keharmonian masyarakat setempat ketika itu.
Rumah kedai yang rata-ratanya didiami oleh keluarga kaum Cina tetapi masyarakat daripada pelbagai kaum di Sibu tidak mengenal warna kulit dan paras rupa.
Hal ini ditunjukkan dengan bantuan datang daripada orang Melayu, Melanau dan Dayak untuk membantu rakan mereka yang mengalami musibah tersebut.
Walaupun usaha mereka gagal menghadapi bahang kepanasan yang melampau, tetapi semangat muhibah mereka ini menunjukkan bahawa perpaduan kukuh dalam kalangan masyarakat di Sibu.
Api yang membakar rumah kedai ini gagal dikawal menyebabkan kebakaran ini berlanjutan sehingga ke waktu subuh.
Kemusnahan
Kira-kira 6.00 pagi kebakaran ini telah memusnahkan hampir kesemua rumah kedai yang ada.
Tambahan daripada itu, Balai Polis yang berdekatan dengan rumah kedai ini juga gagal diselamatkan.
Walaupun ada usaha pekedai-pekedai ini untuk menyelamatkan barang-barang mereka tetapi usaha ini dianggap sia-sia.
Barang-barang yang mereka angkut keluar juga telah musnah oleh api yang merebak cepat.
Keadaan ini menunjukkan betapa hebatnya kebakaran yang berlaku di Sibu ketika itu.
Mungkin juga ketiadaan pasukan yang khusus untuk mengawal kebakaran ini seperti pihak bomba menyebabkan keadaan ini gagal dikawal dengan sempurna.
Anggaran kerugian akibat kebakaran ini termasuk rumah kedai dan barang-barang yang terbakar bernilai kira-kira $150,000.
Siasatan terhadap punca kebakaran ini mendapati bahawa ia berpunca daripada kedai yang menjual candu.
Spekulasi tentang hal ini dikaitkan dengan buruh-buruh yang mengambil bahan hisapan tersebut selepas bekerja keras pada siang hari.
Candu ini digunakan juga untuk melegakan keletihan yang mereka alami selepas penat bekerja seharian.
Akibat ketagihan dan berkeadaan hayal selepas menghisap candu, lampu yang mereka gunakan ketika itu berkemungkinan jatuh dan membakar struktur bangunan kayu di rumah kedai.
Batu bata
Apa yang ajaibnya dalam kejadian kebakaran ini adalah, walaupun kebakaran tersebut memusnahkan bangunan rumah kedai dan barang-barang di dalamnya tetapi tiada kehilangan nyawa dilaporkan.
Kebakaran ini memberi pengajaran berguna kepada pekedai-pekedai ini tentang perlunya mengubah bahan binaan kedai dari kayu kepada batu bata.
Walaupun idea ini ada tetapi ia masih tidak dapat disegerakan kerana kerugian besar dialami oleh pekedai-pekedai ini menyebabkan mereka terpaksa mengumpul wang lebih lama lagi sebelum dapat membeli batu-batan yang diimpikan oleh mereka.
Kebakaran besar berlaku di Sibu ini tidak mematikan semangat penduduk di bandar tersebut untuk memulih dan memajukan bandar itu semula.
Mereka berusaha untuk mengembalikan status Sibu sebagai kawasan perdagangan penting di Lembah Sungai Rajang.
Semangat dan keazaman mereka ini menampakkan hasil apabila Sibu kembali pulih dan terus menjadi pusat dagangan utama di Lembah Sungai Rajang sehingga ke hari ini.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).