
PETRA JAYA: Persidangan Rabies in Borneo (RIB) kembali dengan edisi ke-4 dan dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dari 30 September hingga 1 Oktober 2025.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, menggesa masyarakat setempat untuk bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk DVSS, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.
“Perkara yang paling penting ialah komuniti. Ini termasuk pencinta haiwan, pemilik anjing, dan sebagainya.
“Kita ada dasar yang membenarkan pemeliharaan anjing, namun kita mesti memastikan anjing peliharaan diberi lesen dan divaksin.
“Sebaik sahaja divaksin, anjing-anjing ini akan bebas rabies, jadi walaupun mereka menggigit seseorang, ia tidak akan menyebarkan rabies,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media RIB yang diadakan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar turut berwaspada terhadap haiwan selain anjing, seperti kucing yang juga berpotensi membawa virus rabies.
“Sebanyak 21 sampel kucing telah diambil tahun ini dengan dua daripadanya disahkan positif rabies, termasuk satu kes jangkitan rabies pada manusia setakat ini.
“Perkara paling penting ialah mendapatkan rawatan perubatan dengan segera selepas digigit. Jangan tunggu sehingga gejala muncul kerana pada ketika itu ia sudah terlambat.
“Sejak wabak rabies bermula pada tahun 2017, pihak berkuasa telah memvaksin sebanyak 267,883 haiwan sebagai sebahagian daripada strategi pencegahan agresif,” jelasnya.
Tambah beliau, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 4,858 sampel telah dikumpul dan diuji, di mana 1,140 atau 23 peratus daripadanya disahkan positif yang merupakan satu petunjuk membimbangkan mengenai ancaman berterusan virus ini di rantau ini.
Persidangan yang bakal berlangsung selama dua hari itu akan menghimpunkan delegasi tempatan dan antarabangsa dalam usaha kolektif untuk menghapuskan rabies dari pulau Borneo.
Persidangan tersebut dianjurkan bersama oleh Place Borneo Sdn Bhd dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS), dengan sokongan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG), serta Business Events Sarawak.
Oleh Masrin Affirah