
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin (lima dari kanan), menyaksikan penyerahan surat pelantikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel (lima dari kiri), kepada Pengarah Pembangunan Perniagaan NACO, Joeri Aulman.
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak melantik syarikat dari Belanda untuk mengetuai kajian kebolehlaksanaan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (NKIA) yang baharu.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata pelantikan NACO Netherlands Airport Consultants akan bekerjasama dengan rakan tempatan, Jurutera Jasa (Sarawak) Sdn. Bhd.
“Pelantikan dibuat menerusi proses perolehan yang telus dan mematuhi piawaian tadbir urus.
“Kajian itu dijadualkan siap dalam tempoh sembilan bulan dan akan merangkumi penilaian lokasi, ruang udara, impak alam sekitar dan sosial, unjuran pasaran, kesesuaian kewangan serta perancangan guna tanah.
“Kerjasama strategik ini menggabungkan kepakaran antarabangsa dan pemahaman tempatan bagi menyokong pembangunan lapangan terbang moden dan aerotropolis yang akan memacu pertumbuhan ekonomi dan kesalinghubungan udara serantau.
“Projek ini menjadi asas kepada perancangan induk aerotropolis dan pembinaan lapangan terbang baharu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sebelum ini kerajaan Sarawak mengumumkan akan membina lapangan terbang antarabangsa baharu di Tanjung Embang di sini dan disasarkan untuk siap pada 2032.
NACO, beribu pejabat di The Hague, Belanda, mempunyai lebih 75 tahun pengalaman dalam projek lapangan terbang global termasuk di Doha, Singapura, Korea Selatan, Jerman dan Belanda.
Jurutera Jasa pula berpengalaman luas dalam projek kejuruteraan di Sarawak.