
MIRI: Pengambilan makanan manis dan bergula yang telah menjadi budaya dalam kalangan masyarakat di negara ini semakin membimbangkan.
Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin (GPS-Senadin) berkata, masyarakat perlu menyedari bahawa gula yang ditambah ke dalam makanan tidak memberi sebarang faedah kepada kesihatan, malah boleh memudaratkan.
Katanya, selain membekalkan tenaga, gula tidak mengandungi nutrien yang lain.
“Apabila kita mengambil makanan yang mengandungi gula dan tidak melakukan aktiviti fizikal yang bersesuaian, ia akan segera ditukar kepada lemak dan disimpan di dalam badan.
“Pada satu jangka masa yang panjang, lemak ini akan berkumpul dan menyebabkan kegemukan atau obesiti.
“Keadaan ini akan menjadi lebih serius sekiranya kita mengamalkan pengambilan makanan yang kaya dengan lemak dan kurang melakukan aktiviti fizikal,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Kurangkan Pengambilan Gula 2025 di sini, semalam.
Kim Shin berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengambil pelbagai langkah bagi mempromosikan amalan makan secara sihat kepada masyarakat, terutama mengurangkan pengambilan gula.
“Inisiatif ini telah dilaksanakan semenjak tahun 1991 lagi. Penyampaian mesej bagi mengurangkan pengambilan gula ini telah diperkukuhkan dalam Kempen Cara Hidup Sihat 1997 dengan tema Makan Untuk Kesihatan – Resipi Kehidupan Sihat,” katanya.
Kempen Kurangkan Pengambilan Gula 2025 merupakan usaha berterusan kerajaan bagi
mendidik rakyat mengamalkan cara hidup sihat.
Antara aktiviti yang telah dirancang adalah promosi dan pendidikan di media masa.
Bahan-bahan pendidikan yang disasarkan kepada kanak-kanak sekolah, pengendali makanan dan suri rumah juga turut disediakan.
Oleh Liong Chai Ling