

PETRA JAYA: Sarawak membahagikan pembangunan sistem grid bekalan air kepada tiga wilayah utama iaitu selatan, tengah dan utara dengan kadar liputan bekalan air luar bandar kini meningkat kepada 70.5 peratus berbanding 61.9 peratus pada 2018.
Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, langkah tersebut dilaksanakan menerusi Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak yang dirangka secara holistik untuk menjamin keterjaminan bekalan air jangka panjang.
“Di kawasan bandar pula, kadar liputan telah mencapai 99 peratus, menjadikan jumlah keseluruhan liputan bekalan air di Sarawak berada pada tahap 85.4 peratus.
“Sistem grid Wilayah Selatan melibatkan Bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong, meliputi sembilan loji rawatan air utama serta pemasangan paip sepanjang 1,081 kilometer.
“Tiga loji utama telah siap dinaik taraf iaitu Loji Rawatan Air Batu Kitang di Kuching, Loji Slabi di Serian dan Loji Bayai di Sri Aman, manakala enam loji lain kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan termasuk di Lubau, Kaki Wong, Landeh, Engkilili dan Lundu,” katanya ketika menggulung perbahasan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Tambah beliau, sebanyak 311 kilometer paip grid telah siap dipasang di Wilayah Selatan dan tambahan 770 kilometer sedang dan akan dibina bagi sambungan ke Wilayah Tengah.
“Sementara itu, Wilayah Tengah yang melibatkan Sarikei, Sibu, Mukah dan Kapit mempunyai 11 loji rawatan air utama dengan pemasangan saluran paip sepanjang 1,143 kilometer.
“Sebanyak 125 kilometer paip grid telah siap di Wilayah Tengah manakala tambahan 1,018 kilometer sedang dan akan dilaksanakan untuk sambungan ke Wilayah Utara.
“Wilayah Utara pula meliputi Bahagian Bintulu, Miri dan Limbang dengan 12 loji rawatan air utama serta 569 kilometer saluran paip grid,” jelas beliau.
Beliau mengulas lanjut bahawa kerajaan negeri turut melaksanakan inisiatif loji rawatan air sementara atau Acute Water Treatment Plantdi kawasan kritikal, dengan 13 buah telah beroperasi dan sembilan lagi dalam pelaksanaan.
“Tiga loji telah siap dinaik taraf iaitu Loji Rawatan Air Nyabau di Bintulu, Loji Berawan di Limbang dan Loji Trusan di Lawas.
“Sembilan loji lain dijangka mula dilaksanakan pada suku keempat 2025 termasuk projek di Samalaju, Suai, Long Lama, Beluru, Lawas dan Sangan.
“Seluruh sistem grid bekalan air ini akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga 2030,” tambahnya.
Beliau turut menyatakan bahawa Program penggantian paip lama dan uzur sepanjang 2,740 kilometer juga sedang giat dilaksanakan untuk menurunkan kadar Non-Revenue Water (NRW).
“Setakat ini, satu projek telah siap, 43 sedang dibina dan 97 lagi dijangka bermula secara berfasa tahun ini dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.1 bilion.
“Kerajaan negeri juga dalam fasa akhir penggabungan ketiga-tiga entiti bekalan air di Sarawak, yang bakal dilancarkan oleh Premier Sarawak dalam masa terdekat,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah