
LAWAS: Nilai persahabatan antara kaum, hubungan sosial yang harmoni serta budaya perniagaan yang sihat di Sarawak perlu terus dipertahankan, meskipun berdepan pelbagai cabaran dalam era baharu yang dipacu oleh kemajuan digital.
Malahan nilai kesenian dan budaya setiap kaum harus dipertahan serta dihormati dalam memastikan perpaduan dikalangan rakyat yang berbagai latar belakang dapat dijadikan kekuatan untuk mengerakkan pembangunan di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menjelaskan perpaduan berbagai kaum dan latar belakang di Sarawak merupakan sumber kekuatan yang menjamin kestabilan politik dan pembangunan ekonomi yang mampan.
” Kita ini ibarat seperti satu taman yang landskapnya bagus dipenuhi dengan bermacam-macam jenis bunga ada yang warna merah, ada yang warna kuning, ada yang warna putih dan bermacam-macam warna lagi seperti malam ini.
“Ada yang berbaju merah ada yang berbaju purple ada yang berbaju kuning, ada yang warna biru ada yang berbaju hitam dan ini menambah keceriaan dan begitu juga kalau taman itu dipenuhi dengan bunga-bunga yang begitu berwarna warni kita pun sedap tengok. Inilah keadaan kita.
“Jadi kita harus pertahankan dan inilah merupakan asas kepada stabiliti inilah asas kepada keamanan yang didokong oleh kehidupan yang penuh toleransi, hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya pada perasmian majlis Line & Folk Dance Exchange Lawas di Arena Lawas, malam tadi.
Seterusnya Awang Tengah mahu kestabilan sosial dan politik Sarawak dijadikan tanggungjawab semua masyarakat majmuk di negeri ini dalam menjadikannya terus makmur dan menjadi destinasi perniagaan yang disenangi masyarakat dunia.
Majlis Line & Folk Dance Exchange Lawas disertai oleh pertubuhan kebudayaan cina daripada negeri Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak dan negara Brunei.
Turut hadir Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Setiausaha Politik Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Haji Jawa, Residen Bahagian Limbang Yunus Tambi, Pengerusi Pengelola Steven Siek Hien Teck dan kenamaan tempatan lainnya.
Oleh Adeng Edrus