
PETRA JAYA: Penolakan Chong Chieng Jen (DAP-Padungan) terhadap projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang baharu dan Pelabuhan Laut Dalam disifatkan sebagai tidak berasas dan bertentangan dengan aspirasi pembangunan Sarawak.
Menurut Wilfred Yap Yau Sin (GPS-Kota Sentosa), kenyataan Chong menunjukkan pandangan sempit serta kurang memahami keperluan infrastruktur strategik masa depan negeri.

“Lapangan terbang baharu bukan satu kemewahan tetapi satu keperluan mendesak yang akan menyokong pertumbuhan ekonomi, pelancongan dan pelaburan asing.
“Pelabuhan Laut Dalam pula penting untuk menjadikan Sarawak hab logistik serantau dan mengurangkan kebergantungan kepada Pelabuhan Klang dan Singapura.”
“Adakah Chong mahu Sarawak kekal sebagai ekonomi pengumpan dan melepaskan peluang menjadi pusat perdagangan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, hari ini.
Tambah beliau, GPS sentiasa memperjuangkan autonomi dan pembangunan infrastruktur, tidak seperti parti Chong yang menurutnya hanya mendukung prinsip tersebut apabila ia menguntungkan politik mereka.
“Beliau mempersoalkan kos tanpa mengambil kira kecekapan kewangan kerajaan Sarawak yang telah terbukti mengurus rizab negeri secara berhemah.
“Ketelusan dan kebertanggungjawaban sebenar terbukti melalui tindakan GPS, bukan sekadar retorik seperti yang ditonjolkan Chong.
“Rakyat Sarawak berhak untuk maju tanpa dijadikan alat permainan politik dan masa depan Sarawak akan dibina sama ada Chong bersetuju atau tidak kerana rakyat lebih menghargai hasil berbanding kata-kata,” jelasnya.
Terdahulu, Chong Chieng Jen dalam perbahasan DUN menyuarakan bantahan terhadap projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang baharu dan Pelabuhan Laut Dalam atas alasan kekurangan ketelusan dan butiran kos, yang mencetuskan kenyataan balas daripada pihak kerajaan negeri.
Oleh Masrin Affirah