Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Kendali helikopter lebih rumit, kos operasi tinggi
  • KOLUMNIS

Kendali helikopter lebih rumit, kos operasi tinggi

Utusan Sarawak 3 days ago

HELIKOPTER sering dikaitkan sebagai simbol kemewahan dan keunggulan teknologi dalam dunia penerbangan.

Bagi kebanyakan orang, jika berpeluang untuk menaiki helikopter pun sudah menjadi suatu kehebatan, apatah lagi bagi mereka yang mampu memilikinya.

Dalam medan tempur, helikopter merupakan lambang kekuatan dan ketepatan misi, setiap operasi menjadi penentu menang kalah peperangan.

Namun, pada saat kritikal dan terdesak akibat bencana alam atau kemalangan di lokasi yang terpencil, helikopter muncul menjadi wira yang diharapkan untuk menyelamat nyawa mangsa yang perlu diselamatkan.

Idea dan konsep asas kenderaan udara berbilah berputar sebenarnya telah dicetuskan sejak abad ke-15 melalui lakaran Leonardo da Vinci yang dikenali sebagai ‘aerial screw’.

Namun, hanya pada abad ke-20 barulah idea ini dapat direalisasikan apabila helikopter VS-300 hasil ciptaan Igor Sikorsky pada 1939 dapat diterbangkan dengan jayanya.

Seperti kapal terbang konvensional, helikopter mampu terbang dengan memanfaatkan prinsip aerodinamik untuk mencipta daya angkat dan tujahan.

HELIKOPTER memainkan peranan penting dalam operasi menyelamat dan bantuan kemanusiaan.

Namun, kedua-dua kenderaan udara ini mencapai kemampuan terbang melalui pendekatan teknikal yang berbeza secara jelas.

Helikopter menggunakan sistem rotor berputar yang dipasang secara menegak pada badan pesawat sebagai mekanisme utama untuk menghasilkan kedua-dua daya angkat dan tujahan.

Rotor utama yang berputar ini berfungsi sebagai ‘sayap berputar’ yang mencipta perbezaan tekanan udara antara permukaan atas dan bawah bilah rotor bagi menghasilkan daya angkat yang diperlukan untuk mengangkat pesawat secara menegak.

Kapal terbang pula memanfaatkan dorongan enjin jet atau kipas yang menolak pesawat ke hadapan seterusnya mewujudkan tekanan udara pada sayap tetap di badan bagi menghasilkan daya angkat.

Keupayaan berlepas untuk terbang secara menegak ini merupakan kelebihan utama helikopter apabila ia tidak memerlukan landasan yang panjang seperti kapal terbang.

Hal ini membolehkan helikopter mendarat atau terbang di mana-mana sahaja bagi melaksanakan operasi di kawasan terpencil seperti di sekitar bangunan yang tinggi atau di jauh ke lautan mahupun di tengah-tengah hutan belantara.

Selain itu, helikopter mampu mengapung secara statik di satu titik di udara yang menjadikannya sangat berguna dalam tugas-tugas yang memerlukan ketepatan posisi seperti operasi menyelamat, pemantauan dan kerja-kerja teknikal yang rumit.

Keupayaan ini menjadikan helikopter aset penting dalam pelbagai sektor masyarakat moden.

Contohnya, helikopter memainkan peranan penting dalam operasi menyelamat dan bantuan kemanusiaan.

Ia mampu mencapai kawasan terpencil atau terjejas bencana dengan pantas, menjadikannya pilihan utama ketika banjir, gempa bumi atau kemalangan yang berlaku di kawasan sukar.

Perkhidmatan helikopter perubatan dapat masuk memberikan rawatan segera dan membawa pesakit yang kritikal terus ke hospital.

HELIKOPTER turut berfungsi dalam pemantauan hutan secara visual dan geospatial, di samping membantu dalam pengesanan awal aktiviti pembalakan haram serta menilai kesan perubahan ekosistem secara menyeluruh.

Dalam situasi kebakaran hutan misalnya, helikopter dapat berfungsi sebagai pemadam api dengan menggunakan sistem ‘water bucket’ yang digantung di bawah pesawat dan dilepaskan tepat ke kawasan terbakar.

Selain itu, helikopter diguna secara meluas dalam bidang pembalakan, pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur. Helikopter sering digunakan untuk mengangkut kayu balak atau bahan binaan dari atau ke lokasi yang tidak dapat dilalui oleh kenderaan biasa.

Ia turut digunakan untuk memasang menara komunikasi dan menjalankan pemeriksaan ke atas talian elektrik voltan tinggi yang sangat sukar dilakukan jika tanpa menggunakan kelebihan yang ada pada helikopter ini.

Tambahan pula, helikopter turut berfungsi dalam pemantauan hutan secara visual dan geospatial, di samping membantu dalam pengesanan awal aktiviti pembalakan haram serta menilai kesan perubahan ekosistem secara menyeluruh.

Tidak sekadar itu, helikopter dapat membuka peluang baharu kepada pelancong untuk menikmati pemandangan dari perspektif udara secara eksklusif, mewah dan selamat.

Perkhidmatan pelancongan helikopter ini amat popular di kawasan pergunungan, pulau-pulau terpencil dan kawasan semula jadi yang sukar dicapai melalui jalan darat.

Ia pastinya dapat memberikan pengalaman visual yang unik dan mendalam serta sukar ditandingi oleh mod pengangkutan lain.

Sementara itu, helikopter yang digunakan dalam ketenteraan mampu membawa revolusi besar dalam strategi dan pelaksanaan misi.

Ia digunakan untuk menghantar tentera dengan cepat ke zon konflik serta menempatkan pasukan khas di lokasi strategik yang sukar dicapai.

Helikopter tempur pula memainkan peranan penting sebagai platform serangan mudah gerak yang dilengkapi dengan pelbagai sistem senjata seperti senapang dan peluru berpandu.

Selain itu, helikopter pengintip menyumbang kepada operasi risikan dengan keupayaan menyalurkan maklumat medan tempur secara masa nyata melalui sensor dan sistem pengawasan berteknologi tinggi.

Disebabkan bentuk dan reka bentuk aerodinamik yang lebih kompak, helikopter berdepan kekangan kapasiti. Ruang dalaman yang terhad dan keperluan mengekalkan kestabilan penerbangan mengehadkan keupayaan untuk membawa penumpang dalam jumlah besar atau mengangkut kargo berat.

Tambahan pula, sistem rotor yang menjana daya angkat memerlukan nisbah berat yang seimbang agar pesawat dapat dikawal dengan selamat.

Bagaimanapun, terdapat pengecualian seperti helikopter Boeing CH-47 Chinook yang direka khas untuk kegunaan ketenteraan dan logistik.

Chinook mampu membawa beban muatan yang besar termasuk kargo berat dan lebih 30 orang penumpang.

Di samping itu, helikopter tidak sesuai untuk operasi jarak jauh kerana faktor kelajuan dan penggunaan bahan api yang tinggi.

Reka bentuknya tidak menyokong kecekapan aerodinamik untuk penerbangan jarak jauh seperti kapal terbang sayap tetap.

Kelajuan purata helikopter yang lebih rendah serta tangki bahan api yang lebih kecil menjadikan ia tidak praktikal untuk penerbangan antara bandar yang jauh apatah lagi merentas negara.

Bagi mengendalikan helikopter, juruterbang perlu mengawal tiga sistem utama secara serentak iaitu cyclic, collective dan pedal kaki. Pengawalan ketiga-tiga alat kawalan ini menuntut kemahiran tinggi serta koordinasi yang teliti.

Kawalan cyclic berfungsi untuk menentukan arah pergerakan helikopter ke hadapan, ke belakang atau ke sisi dengan mengubah sudut serangan bilah rotor secara berbeza sepanjang putarannya, menyebabkan helikopter condong ke arah yang dikehendaki.

Pada masa sama, kawalan ‘collective’ digunakan untuk menukar sudut serangan semua bilah rotor secara seragam, sekali gus mengawal jumlah daya angkat. Ia membolehkan helikopter naik atau turun secara menegak tanpa mengubah kedudukan mendatar.

Sementara itu, pedal kaki digunakan untuk mengawal rewang (yaw) atau arah muncung helikopter dengan melaraskan daya kilas dari rotor ekor supaya helikopter tidak berputar akibat tindak balas dari rotor utama.

Ketiga-tiga kawalan ini perlu diselaraskan dalam masa nyata sepanjang penerbangan menjadikan pengendalian helikopter jauh lebih rumit berbanding kapal terbang biasa yang sistem kawalannya lebih linear dan stabil.

Operasi helikopter tidak terlepas daripada beberapa kekangan praktikal, terutamanya dari segi bunyi. Putaran yang sangat laju pada bilah rotor utama dan rotor ekor menghasilkan tahap kebisingan yang tinggi.

Hal ini boleh menyebabkan gangguan terutamanya di kawasan bandar atau berhampiran hospital. Kebisingan ini juga menjadi halangan utama dalam operasi yang memerlukan kerahsiaan atau keselesaan bunyi.

Meskipun helikopter sering digunakan dalam pelbagai keadaan mencabar termasuk kawasan bencana, medan perang dan lokasi terpencil, prestasinya tetap sangat bergantung kepada keadaan persekitaran.

Faktor seperti angin kencang, hujan lebat, suhu ekstrem dan kepadatan udara boleh menjejaskan kestabilan, kawalan serta keupayaan untuk beroperasi dengan selamat.

Keadaan ini menjadikan persekitaran sebagai elemen kritikal dalam menentukan keberkesanan penggunaan helikopter dalam sesuatu misi.

Kos penyelenggaraan yang tinggi turut menjadi satu lagi cabaran utama dalam pengoperasian helikopter.

Perkara ini disebabkan oleh reka bentuk mekanikalnya yang kompleks seperti sistem rotor utama, rotor ekor dan pelbagai komponen bergerak yang sentiasa terdedah kepada tekanan tinggi.

Setiap komponen ini memerlukan penyelenggaraan berkala yang rapi dan penggantian alat ganti khusus yang mahal. Selain itu, pemeriksaan keselamatan yang ketat mengikut jam penerbangan menjadikan kos operasi helikopter jauh lebih tinggi berbanding kapal terbang konvensional.

Oleh itu, hanya organisasi dengan sumber kewangan mencukupi seperti pasukan keselamatan, syarikat minyak dan gas atau operator pelancongan mewah mampu mengekalkan pengoperasian helikopter secara konsisten.

Seiring dengan itu, industri helikopter kini menyaksikan pelbagai inovasi teknologi bagi mengatasi cabaran ini.

Antara usaha yang sedang giat dijalankan termasuk pembangunan sistem rotor senyap dengan rekaan bilah yang lebih aerodinamik, penggunaan bahan komposit ringan untuk mengurangkan getaran serta peningkatan teknologi enjin bagi mengurangkan tahap hingar dan meningkatkan kecekapanbahan api.

Inovasi-inovasi ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan prestasi helikopter, malah juga untuk menjadikannya lebih mesra alam dan sesuai digunakan dalam persekitaran urban moden.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.
Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: Fahami ilmu sains, teknologi penerbangan
Next: JENDELA MASA

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.