
KUCHING: Gawai Bazar 2025 yang berlangsung selama 10 hari di MJC Batu Kawa mencatatkan nilai jualan melebihi RM1 juta, sekali gus membuktikan kejayaan acara itu sebagai platform mempromosi produk tempatan dan menggalakkan aktiviti ekonomi komuniti.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata pencapaian tersebut jelas menunjukkan potensi besar usahawan tempatan dalam menjadikan acara kebudayaan sebagai peluang komersial yang berimpak.
“Ini bukan sekadar bazar Gawai, tetapi medan penting bagi mengetengahkan hasil tani, kraftangan dan kreativiti masyarakat luar bandar kepada khalayak yang lebih luas,” katanya semasa berucap pada majlis penangguhan Gawai Bazar 2025, malam tadi.
Beliau berkata penglibatan aktif golongan petani, pengusaha kecil dan penggiat seni sepanjang penganjuran bazar itu membuktikan kesediaan komuniti luar bandar untuk meneroka pasaran secara lebih berstruktur dan kompetitif.
Katanya lagi, penganjuran acara seperti ini harus diteruskan dan diperluas selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan ekonomi pekeliling, pemerkasaan komuniti dan kelestarian sumber.
“Kita mahu lihat hasil tempatan bukan sahaja mampu memenuhi keperluan domestik, malah bersedia menembusi pasaran luar dengan kualiti dan nilai tambah yang lebih tinggi,” ujarnya.
Dr Stephen turut mengumumkan bahawa komuniti Iban akan mengambil alih tugas penganjuran Gawai Bazar tahun hadapan, menggantikan komuniti Orang Ulu yang mengetuai edisi kali ini.
Majlis penutupan diserikan dengan persembahan budaya dan pameran produk tempatan serta dihadiri pelbagai tetamu kehormat termasuk timbalan-timbalan menteri dan wakil rakyat negeri.
Oleh Amanda L.