
BELAGA: Pelaksanaan Projek MADANI Kelaman Khazanah Seni Lahanan dan laluan pejalan kaki di Uma Lahanan, Sungai Asap, Belaga merupakan inisiatif pembangunan berteraskan warisan budaya tempatan yang memberi penekanan kepada nilai seni dan identiti suku kaum Lahanan.
Timbalan Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata pelaksanaan projek ini bukan sahaja mengangkat elemen seni ukiran dan simbolik budaya Lahanan, malah menzahirkan nilai murni masyarakat tersebut sebagai satu khazanah negara yang wajar dipelihara dan dimartabatkan.
“Pendekatan ini adalah sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan, budaya dan kesejahteraan bersama,” katanya berucap semasa merasmikan projek itu di Uma Lahanan, Sungai Asap, Belaga semalam.
Tumpuan utama projek ialah pembinaan ‘kelaman’, iaitu ruang tradisional yang berperanan sebagai pusat pertemuan, perbincangan serta aktiviti kemasyarakatan komuniti.
Dalam konteks kepercayaan Bungan yang diamalkan oleh masyarakat Lahanan pada zaman dahulu, ‘kelaman’ turut membawa makna spiritual yang mendalam sebagai tempat memelihara hubungan antara manusia, alam semula jadi dan roh nenek moyang.
Dalam ucapannya lagi, Datuk Wilson Ugak turut memperkenalkan fungsi dan peranan Kementerian Digital Malaysia, sebuah kementerian baharu yang bertanggungjawab memperkasa pembangunan dan inklusiviti digital di seluruh negara.
Sebagai tanda sokongan, beliau meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi kerja-kerja merata tapak rumah baharu RM20,000 kepada Persatuan Lahanan Sarawak untuk menyertai Perarakan Hari Gawai Dayak 2025 yang dijadual berlangsung di Kuching pada 21 Jun 2025 dan RM50,000 kepada Biro Wanita Uma Lahanan.
–UKAS