
KUCHING: Hampir 8,000 peserta mengesahkan penyertaan setakat ini dalam edisi ke-10 Kuching Marathon (KM2025) yang dijadual berlangsung 21 September ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata mereka terdiri daripada 6,719 peserta tempatan dan 1,103 peserta antarabangsa.
Beliau berkata kebanyakan pelari tempatan adalah dari Sarawak, manakala peserta antarabangsa pula melibatkan pelbagai negara termasuk Brunei, Kanada, China, Ghana, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Maldives, Belanda, Filipina, Singapura, Afrika Selatan, Thailand, United Kingdom dan Vietnam.
“Antara kemuncak edisi tahun ini ialah laluan perlumbaan maraton sejauh 42 kilometer (km) yang ditambah baik, menawarkan peserta laluan yang lebih dinamik dan panoramik.
“Buat julung-julung kalinya, semua peserta yang menamatkan perlumbaan dalam had masa ditetapkan, termasuk dalam kategori 10km dan 5km akan menerima baju ‘finisher’ selain baju acara dan pingat yang direka khas,” katanya pada sidang media promosi acara itu di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata KM2025 menawarkan peserta pengalaman menarik berlari sambil menelusuri kekayaan warisan budaya dan kolonial di bandar raya ini.
Beliau berkata KM2025 bertujuan memperkukuh kedudukan bandar raya Kuching di peta dunia dengan mempromosikannya sebagai hab sukan, rekreasi dan pelancongan di samping menggalakkan gaya hidup sihat.
KM2025 merupakan acara larian jarak jauh tahunan yang merangkumi maraton penuh sejauh 42km, separuh maraton 21km, larian 10km dan larian 5km.
Acara ini diiktiraf sebagai perlumbaan jalan raya bertaraf antarabangsa oleh Persatuan Maraton dan Perlumbaan Jarak Jauh Antarabangsa (AIMS) serta disenaraikan dalam kalendar perlumbaan persatuan itu.
-Bernama