

KUCHING: Sarawak mahu agar formula tetap geran khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dimuktamadkan segera demi menjamin hak kewangan negeri ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata setakat ini pemberian itu bersifat interim atau sementara.
“Jumlah bayaran interim sebanyak RM600 juta (setahun) yang diberikan Kerajaan Persekutuan hanyalah langkah sementara.
“Kerajaan negeri Sarawak telah membuat cadangan dan telah mengemukakan formula kita, tetapi ini belum mendapat kelulusan.
“Namun, kita berterima kasih sebab Kerajaan Persekutuan walaupun belum meluluskan formula yang kita cadangkan, telah bersetuju untuk memberi geran khas secara interim dulu.
“Bayaran ini bersifat sementara sahaja, sementara kita menunggu kelulusan terhadap formula yang kita ajukan.
“Kita akan terus berunding melalui jawatankuasa teknikal, jawatankuasa kerja dan di peringkat tertinggi bagi memastikan formula ini diterima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis sumbangan Saberkas Prihatin anjuran Biro Hal Ehwal Wanita Seberkas sempena sambutan Hari Gawai 2025, di Muzium Budaya Borneo, hari ini.
Berdasarkan MA63 yang ditandatangani 62 tahun lalu, dan mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, menetapkan peruntukan yang munasabah diberikan kepada Sarawak dan Sabah. Ia tertakluk kepada semakan setiap lima tahun sekali.
Putrajaya mula mengakui dan mengiktiraf fakta ini apabila awal 2023, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan Pemberian Khas RM300 juta itu, masing-masing kepada Sarawak dan Sabah.
Ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada 18 Oktober 2024, Perdana Menteri menaikkan kadar tahunan itu kepada RM600 juta mulai tahun ini.
Sementara itu, majlis hari ini menyaksikan pengagihan bakul bantuan makanan kepada penerima yang dipilih dari cawangan Saberkas seperti Opar, Tasik Biru, Tanjong Datu, Pantai Damai, Demak Laut, Tupong, Samariang, Satok, Pending, Batu Kitang, Batu Kawa, Asajaya, Muara Tuang, Stakan, Serembu, Tarat, Tebedu, Kedup, Bukit Semuja dan Sadong Jaya.
Program tersebut merupakan antara inisiatif Biro Wanita Seberkas dalam menjayakan agenda kesejahteraan rakyat sejajar dengan semangat inklusif kerajaan negeri.
Majlis tersebut merupakan yang kedua seumpamanya, selepas inisiatif serupa semasa Hari Raya dan edisi Tahun Baharu Cina pula dirancang untuk tahun hadapan.
Oleh MASRIN AFFIRAH